Jutaan umat Islam sedunia jadikan Ramadan peluang cermin diri

Agensi
Mei 17, 2020 22:14 MYT
Seorang wanita membawa pulang bekalan makanan sebagai persiapan Ramadan di sebuah pasar di Kaherah, Mesir. - AP
PERSIAPAN menyambut Ramadan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia sudah terasa sejak beberapa hari lalu.
Sejak minggu lalu, jutaan orang Islam sedunia memastikan bekalan barang keperluan dapur mereka sudah disediakan, termasuk buah kurma yang dijadikan kelaziman sewaktu berbuka puasa.
Arab Saudi dan banyak lagi negara dengan majoriti Muslim, seperti Mesir, Malaysia dan Indonesia, mengumumkan Ramadan bermula berdasarkan kaedah melihat anak bulan.
Mengikut kaedah tersebut, keputusan pengisytiharan permulaan Ramadan di beberapa negara boleh jadi berbeza, mungkin berselang satu atau dua hari.
Beberapa masjid di Amerika Syarikat sudah pun mengumumkan permulaan Ramadan dan ibadah puasa pada Rabu, sementara yang lain pada hari Khamis.
Bagi mereka yang berpuasa di Amerika Utara dan Eropah, Ramadan pada tahun ini jatuh dalam kitaran siang yang lebih panjang. Ini membuatkan orang Islam di beberapa kawasan perlu berpuasa dalam tempoh lebih lama dan hanya berbuka selepas jam 8 malam.
Ibadah puasa menuntut umat Islam menahan diri daripada makan atau minum atau melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa dari sebelum terbit fajar hingga terbenam matahari.
Ia mengajar orang Islam supaya lebih taat dan dekat dengan perintah Allah selain mengingatkan mereka kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Bagi sesetengah orang, Ramadan adalah peluang untuk mengurangkan ketagihan terhadap kafein mahupun tabiat merokok.
Ketika berpuasa, umat Islam tidak boleh melakukan hubungan seks serta perlu belajar untuk mengawal diri daripada bercakap tentang perkara-perkara yang sia-sia.
Sebaik-baiknya, mereka digalakkan untuk memperbanyakkan lintasan fikiran yang menginsafi diri, menunaikan solat, membaca al-Quran dan melakukan amal kebajikan.
Ternyata, ketibaan bulan suci ini dianggap sebagai peluang untuk mencermin diri dan memulihkan jiwa.
Ketika matahari mula terbenam, orang yang berpuasa akan berbuka, sama seperti yang pernah dilakukan umat Islam sebelumnya kira-kira 1,400 tahun yang lalu.
Lazimnya, orang Islam akan berbuka puasa dengan manisan seperti buah kurma sebagai permulaan, diiringi minuman dan seterusnya makanan lain yang tidak terlalu berat.
Ia diikuti dengan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih untuk melengkapi pengisian malam.
Beberapa jam atau waktu yang paling lewat sebelum terbit fajar adalah masa afdal untuk menikmati sahur. Bangun sahur pada waktu sebegitu adalah keistimewaan ibadah puasa Ramadan bagi orang Islam berbanding puasa agama lain, iaitu peluang untuk menikmati makanan yang ringan untuk mengalas perut supaya kekal bertenaga sepanjang hari.
Di kebanyakan negara Asia Barat, golongan berada akan terlibat dalam kerja-kerja mengagihkan makanan percuma kepada golongan miskin, selain masjid-masjid menyaksikan ramai sukarelawan membahagikan minuman dan makanan kepada mereka yang berada di jalanan, tidak kira orang Islam atau bukan Islam.
Puasa bulan Ramadan merupakan perkara rukun dalam Islam, walaupun terdapat kelonggaran tertentu bagi golongan anak kecil, orang tua yang tidak berdaya, orang sakit, wanita hamil dan mereka yang sedang bermusafir.
Memang banyak yang akan dipelajari sepanjang menjalani ibadah puasa bulan Ramadan. Segala melepasi ‘ujian’ tersebut, akan berganti pula dengan hari kemenangan iaitu sambutan Aidilfitri di penghujungnya.
#puasa #Ramadan #jendela ramadan #Umat Islam #sedunia #sahur #ramadan2021
;