Jutaan penduduk Jakarta mula mudik ke kampung halaman untuk Aidilfitri
Agensi
April 9, 2024 11:15 MYT
April 9, 2024 11:15 MYT
JAKARTA: Jutaan umat Islam Indonesia menempah kesesakan jalan raya teruk ketika memulakan proses mudik ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Rakaman video daripada dron menunjukkan ribuan kenderaan beratur untuk menaiki feri di pelabuhan di Merak, 100 kilometer ke barat Jakarta.
Ia menunjukkan kenderaan beratur panjang hingga ke luar kawasan pelabuhan.
Salah seorang penumpang feri Setyo Febrianmemberitahu, kesesakan dipercayai berlaku akibat masalah sistem pembelian tiket menerusi atas talian.
Tahun ini, penumpang perlu membeli tiket lebih awal, menerusi platform tersebut, berbanding pembelian terus sebelum menaiki feri tahun lalu.
"Mereka perlu menyelesaikan masalah sistem tiket online, dan menambah kekerapan feri, untuk mengurangkan kesesakan," kata pemuda berusia 28 tahun ini.
"Kami bertolak dari rumah sekitar 9 malam, dan sudah terperangkap dalam kesesakan selama 13 jam, harapnya ada penyelesaian kepada masalah ini segera," kata Aditya Nugraha, penduduk Jakarta yang mahu pulang ke Palembang.
Menurut Kementerian Pengangkutan, penduduk Jakarta dilaporkan mula meninggalkan ibu negara itu menerusi pelbagai kaedah pengangkutan, sejak Sabtu.
Kementerian itu juga menjangkakan sekitar 193 juta penduduk akan bergerak menuju ke destinasi masing-masing susulan cuti perayaan yang panjang tahun ini.
Jumlah itu merupakan peningkatan 56 peratus daripada tempoh perayaan tahun lalu. - Agensi