Jutaan peminat banjiri Buenos Aires sambut kepulangan juara Piala Dunia

Bernama
Disember 21, 2022 14:28 MYT
Peminat yang teruja bersorak kegembiraan memandangkan sudah sekian lama mereka mahu melihat trofi piala dunia kembali ke Argentina.- Reuters
BUENOS AIRES: Jutaan peminat membanjiri jalan-jalan di Buenos Aires, ibu negara Argentina pada Selasa untuk menyambut kepulangan juara Piala Dunia FIFA 2022.
Bas yang membawa pasukan bola sepak Argentina itu dikawal ketat pasukan keselamatan ketika menuju ke Buenos Aires, menurut Agensi Anadolu.
Peminat mengenakan pakaian biru dan putih, warna jersi pasukan Argentina sambil membawa bendera dan meniup vuvuzela ketika memenuhi bahu jalan berhampiran monumen ikonik Obelisk, lokasi tradisi untuk peminat berkumpul bagi meraikan kemenangan pasukan kebangsaan dan kelab.
Peminat yang teruja bersorak kegembiraan memandangkan sudah sekian lama mereka mahu melihat trofi piala dunia kembali ke Argentina.
Kali terakhir Argentina merangkul kejayaan di pentas piala dunia ialah pada 1978 dan 1986.
Pasukan Argentina yang diketuai Lionel Messi menewaskan Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam pelawanan penuh mendebarkan yang berlangsung pada Ahad di Qatar.
-- BERNAMA
#Argentina #FIFA #Piala Dunia #peminat
;