Sekitar tiga juta penduduk di Wales dan barat daya England diarahkan kerajaan untuk kekal di dalam rumah ketika Ribut Darragh mula melanda beberapa kawasan, menurut laporan Agensi Anadolu.
Amaran itu menegaskan bahaya mengancam nyawa akibat “sisa serpihan yang berterbangan, pokok tumbang, dan ombak besar di kawasan pesisir pantai”. katanya.
Amaran itu disusuli amaran merah, tahap paling serius, yang dikeluarkan oleh Pejabat Meteorologi Britain pada awal Jumaat lepas untuk angin kencang.
Menurut National Grid, lebih 55,000 pelanggan kini terputus bekalan elektrik di barat daya England, selatan Wales, dan West Midlands.
Sistem amaran kecemasan menerusi telefon bimbit turut dihantar kepada jutaan penduduk, menjadikannya penggunaan terbesar sistem berkenaan di luar senario ujian.
Beberapa penerbangan dan perkhidmatan kereta api turut mengalami kelewatan akibat angin kencang, dengan ratusan pembatalan serta beberapa pendaratan terpaksa dibatalkan di Lapangan Terbang Heathrow, London, manakala penerbangan lain dilencongkan ke Jerman.
Perlawanan Merseyside Derby antara Everton dan Liverpool yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu turut dibatalkan akibat cuaca buruk yang dibawa ribut itu.
Perdana Menteri Keir Starmer, menerusi kenyataan di X, memaklumkan kerajaan bekerjasama dengan pemimpin tempatan dan agensi di lapangan untuk memastikan keselamatan orang ramai.
-- BERNAMA