Jusuf Kalla minta siasatan segera insiden serangan ke atas Amien Rais
Astro Awani
November 6, 2014 22:30 MYT
November 6, 2014 22:30 MYT
Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengarahkan pihak polis republik itu menjalankan siasatan segera terhadap kes serangan tembakan ke atas kediaman pengasas Parti Amanat Nasional, Amien Rais.
"Harus segera disiasat," katanya seperti dipetik oleh laman web berita CNN Indonesia.
Katanya, kalau pemimpin seperti Amien saja boleh diserang seperti itu, bagaimana pula dengan rakyat biasa.
Seorang lelaki bermotosikal yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke atas kereta milik bekas speaker Majlis Permesyuaratan Rakyat Indonesia, Amien Rais pada awal Khamis.
Tembakan itu mengenai bahagian kanan kenderaan tersebut yang diletakkan di halaman rumah Amien di Yogyakarta.
Semasa kejadian, Amien yang kini merupakan penasihat kepada Parti Amanat Nasional (PAN) sedang tidur di rumahnya. Tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian yang berlaku lebih kurang pukul 2 pagi itu.
Sementara itu, Naib Ketua Umum PAN, Dradjad Wibowo dipetik oleh CNN Indonesia berkata kejadian seumpama itu tidak boleh dibiarkan kerana ia mencemarkan demokrasi.
Bekas calon presiden Indonesia yang kalah, Prabowo Subianto turut mengecam serangan ganas itu.
Semasa pemilihan presiden pada 9 Julai lepas, Amien menyokong Prabowo dan tindakannya itu mendapat kecaman oleh banyak pihak yang menuduh beliau sebagai khianat kepada cita-cita reformasi 1998.
Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), Zulkifli Hasan pula menegaskan serangan tembakan itu adalah "cara untuk mencederai demokrasi".
"Jelas ini adalah sebuah keganasan dengan kekerasan yang tidak bertanggungjawab yang mencederai nilai-nilai Pancasila dan semangat demokrasi," katanya seperti dilaporkan oleh portal berita Republika.
Dalam pada itu, sesetengah penganalisis politik menganggap serangan ke atas Amien itu mungkin bermotifkan politik kerana tokoh penggerak reformasi lebih 16 tahun lalu itu kini merupakan tokoh utama Koalisi Merah Putih yang diketuai oleh Prabowo.
Pakatan politik itu kini menguasai Parlimen dan dilihat akan menjadi cabaran besar kepada Presiden Joko Widodo yang memulakan pentadbirannya tidak sampai tiga minggu lalu.