Juruterbang Ukraine yang didakwa tembak MH17 ditemui mati
Astro Awani
Mac 20, 2018 19:21 MYT
Mac 20, 2018 19:21 MYT
JURUTERBANG tentera Ukraine, Kapten Vladyslay Voloshyn yang didakwa oleh Rusia sebagai individu yang menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014, dilaporkan membunuh diri.
Media tempatan Ukraine melaporkan Voloshyn, 29 tahun, menembak diri dikediamannya di Mykolaiv, utara Ukraine, pada Isnin.
Polis Mykolaiv mengklasifikasikan insiden sebagai kes bunuh diri tetapi tetap menyiasat kemungkinan ia satu pembunuhan yang dirancang.
Sepucuk pistol milik tentera turut ditemui di lokasi kejadian.
Voloshyn sebelum ini menafikan dakwaan Rusia bahwa dia adalah penembak pesawat MH17 dan menuduh ia sebagai satu penipuan.
Penyiasat Belanda mendedahkan bahawa peluru berpandu BUK buatan Russia digunakan untuk menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu sehingga mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.
Voloshyn yang dianggap sebagai wira di Ukraine dilapor menyertai 33 misi ketenteraan menentang pemberontak di Timur Ukraine, selain turut menerima anugerah atas keberaniannya.
Dalam kejadian pada 17 Julai 2014 itu, pesawat MH17 ditembak di ruang udara Timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
#Amsterdam
#Belanda
#Boeing
#Boeing 777
#bunuh diri
#Kuala Lumpur
#MH17
#pesawat
#Rusia
#tembak
#Ukraine