Juruterbang Turkish Airlines meninggal dunia semasa bertugas di udara

Agensi
Oktober 9, 2024 06:00 MYT
Sebuah pesawat Turkish Airlines dalam perjalanan dari Seattle ke Istanbul melakukan pendaratan cemas di New York pada Rabu selepas kapten pesawat itu meninggal dunia di udara. - Gambar fail
NEW YORK: Sebuah pesawat Turkish Airlines dalam perjalanan dari Seattle ke Istanbul melakukan pendaratan cemas di New York pada Rabu selepas kapten pesawat itu meninggal dunia di udara, kata seorang pegawai syarikat penerbangan.
Juruterbang İlçehin Pehlivan, 59, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas penerbangan 204 berlepas dari Seattle pada Selasa malam, kata jurucakap Turkish Airlines, Yahya Üstün dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Bantuan perubatan kecemasan yang diberikan ke atas Pehlivan gagal memulihkan juruterbang itu dan pembantu juruterbang memutuskan untuk melakukan pendaratan cemas.
Pehlivan bagaimanapun, menghembuskan nafas terakhir sebelum pesawat mendarat, kata Üstün.
Data daripada laman penjejakan FlightAware menunjukkan pesawat Airbus A350 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy sebelum jam 6 pagi.
Persiapan kini sedang diatur untuk penumpang sampai ke destinasi mereka dari New York, kata jurucakap syarikat penerbangan itu lagi.
Pehlivan mula berkhidmat dengan Turkish Airlines sejak 2007, kata Üstün.
Pemeriksaan kesihatan rutin pada bulan Mac menunjukkan beliau tidak mempunyai masalah kesihatan yang enghalangnya daripada bekerja, katanya.
“Turkish Airlines amat merasakan kehilangan kapten kami dan mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sekerja dan semua orang tersayangnya yang ditinggalkan,” kata Üstün.
#juruterbang Turkish Airlines #meninggal dunia #Turkish Airlines #pendaratan cemas
;