Juruterbang selamat selepas terkandas dalam hutan Amazon selama 38 hari

Astro Awani
April 9, 2021 12:26 MYT
Sena menceritakan pengalamannya selepas terkandas dalam hutan Amazon selama 38 hari. - Foto AP NEWSROOM
SEORANG juruterbang sedang memandu sebuah pesawat ringan Cessna 210 di atas hutan Amazon di Brazil apabila terpaksa membuat pendaratan kemasan susulan kegagalan enjin.
Antonio Sena tidak mengalami sebarang kecederaan, namun akibat kejadian berkenaan dia terkandas di dalam hutan hujan terbesar di dunia itu.
Insiden itu bermulanya perjalanan 38 hari yang banyak memberi pengajaran dalam hidupnya.
Sena, 36, ditugaskan untuk membawa muatan kargo dari Alenquer ke sebuah lombong emas haram di dalam hutan berkenaan yang dikenali sebagai "California".
Ketika kejadian, dia sedang terbang pada ketinggian 1,000m sebelum dia mendapati enjin pesawat terhenti.
Namun dia berjaya mengawal pesawat itu sebaik mungkin dan mendarat di sebuah lembah.
Setelah mengambil barangan keperluan seperti botol air, makanan, kit kecemasan dan lampu, Sena bergegas keluar daripada pesawat berkenaan sebelum ia meletup.
Semua ini berlaku pada 28 Januari lepas.
Dalam satu temu bual bersama agensi berita AFP, Sena memberitahu ketika sesat di dalam hutan, dia sering mendengar pesawat pasukan mencari dan menyelamat.
Namun oleh kerana hutan berkenaan sangat tebal, pasukan itu tidak dapat mengesan juruterbang berkenaan.
Apabila pesawat mencari dan menyelamat tidak lagi kedengaran, dia menyangkakan mereka telah tamatkan operasi pencarian.
Menggunakan telefon bimbitnya, Sena mendapati terdapat dua landasan kapal terbang di dalam hutan itu dan dia terus nekad untuk mencarinya.
Pada keesokan harinya, Sena memulakan perjalan dengan menggunakan segala ilmu yang dipelajari semasa menghadiri kursus survival beberapa tahun lalu.
"Saya tidak mempunyai air, tidak mempunyai makanan. Saya terdedah kepada bahaya dan haiwan buas seperti jaguar, buaya dan ular anaconda," katanya.
Bagi terus hidup, dia perhatikan sekumpulan monyet dan memakan buah yang haiwan itu nikmati serta berjaya mendapatkan tiga biji telur burung - satu-satunya hidangan yang mengandungi protein sepanjang berada dalam hutan berkenaan.
"Saya tidak pernah melihat hutan dara seluas ini.
"Saya mendapati Amazon ini bukan sebuah hutan, ia merangkumi empat atau lima hutan sekali," katanya.
Sena nekad untuk bertemu kembali ibu bapa dan adik-beradiknya dan itu telah mendorong dia untuk mencari jalan keluar.
Sena merupakan seorang juruterbang berpengalaman namun telah berhenti untuk membuka restoran di Santarem.
Namun akibat penularan wabak COVID-19, dia terpaksa menutup kedainya itu dan mengambil kerja untuk syarikat lombong emas haram bagi menyara hidup.
"Saya terpaksa mencari duit. Saya tidak mahu lakukan kerja untuk mereka tapi saya terpaksa untuk menyara keluarga saya," jelasnya.
Secara keseluruhan, Sena telah berjalan sejauh 28 km dan pada masa sama berat badannya susut sebanyak 25 kg.
Pada hari ke-35, dia terdengar sesuatu yang dia tidak pernah dengar dalam hutan tersebut selama dia tersesat.
Dia temui kem kumpulan pencari kacang dalam hutan dan terus menelefon ibunya dengan bantuan mereka.
Ketua kumpulan, Maria Jorge dos Santos Tavares berkata, mereka terkejut melihat Sena tiba-tiba muncul daripada dalam hutan.
"Mereka memberi saya makanan dan pakaian bersih. Saya sangat terhutang budi kepada mereka," kata Sena.
Sena berkata kumpulan tersebut telah mengajarnya bahawa kehidupan ini harus seimbang.
"Saya bekerja untuk kumpulan yang merosakkan alam bagi mengaut keuntungan namun saya diselamatkan oleh mereka yang hidup secara harmoni dengan alam - ia sesuatu yang luar biasa dan membuka mata saya.
"Saya tidak akan bekerja untuk syarikat lombong haram lagi," katanya.
#Juruterbang #terkandas #hutan #Amazon #cessna #Antonio Sena
;