Juruterbang pesan 23 piza selepas pesawat terkandas akibat salji

Agensi
Mac 7, 2019 18:39 MYT
Seorang juruterbang Air Canada memesan 23 set piza untuk diberikan kepada penumpang selepas pesawat itu terkandas akibat salji lebat.
SEORANG juruterbang Air Canada memesan 23 set piza untuk diberikan kepada penumpang selepas pesawat itu terkandas akibat salji lebat.
Menurut laporan daripada CBC, pesawat itu berlepas dari Toronto, Ontario pada Isnin menuju ke Halifax, Nova Scotia.
Bagaimanapun, pesawat berkenaan terpaksa melencongkan perjalanannya ke Fredeticton, New Brunswick menyebabkan penumpang di dalam pesawat terkandas ekoran landasan yang dilitupi salji.
Mahu penumpang berada dalam keadaan tenang, juruterbang yang enggan dikenali itu bertindak memesan 23 set piza di restoran berhampiran, Minglers Restaurant and Pub di Oromocto, New Brunswick untuk dihantar ke dalam pesawatnya.
Pemiliknya, Roch Larivée berkata, dia terkejut menerima pesanan itu lebih-lebih lagi dalam keadaan ribut salji.
Seorang penumpang, Philomena Hughes ketika bercakap kepada CBC berkata, juruterbang berkenaan memudahkan penumpang dengan memesan piza dan memaklumkan keadaan pesawat dari semasa ke semasa.
“Kami tersangkut di dalam pesawat hampir lapan jam. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi juruterbang itu berjaya membuat kami tenang,” katanya.
Pada September 2018, seorang juruterbang American Airlines turut berbuat demikian dengan memesan 159 piza untuk penumpangnya selepas pesawat yang menuju ke Dallas dari Los Angeles terpaksa dilencongkan ke Texas akibat salji lebat.
#Air Canada #Canada #Dallas #Juruterbang #kapal terbang #Los Angeles #new brunswick #pesawat #piza #pizza #salji #Toronto
;