Juruterbang New Zealand diculik pemberontak terbang ke Jakarta

Agensi
September 21, 2024 17:28 MYT
Tahap kesihatan Mehrtens dilaporkan stabil, meskipun juruterbang itu kehilangan berat badan yang ketara. - Reuters
PAPUA: Juruterbang New Zealand, Phillip Mehrtens, dijadualkan untuk dibawa pulang ke Jakarta setelah lebih 19 bulan diculik pemberontak di Papua, Indonesia.
Perkara ini disahkan oleh pegawai tentera tertinggi Indonesia pada Sabtu.
Pegawai tentera, Bambang Trisnohadi memaklumkan Mehrtens telah dibebaskan dan dibawa pulang dari perkampungan di daerah Nduga.
Mehrtens turut menjalani pemeriksaan kesihatan serta pemeriksaan psikologi di daerah Timika.
Menurut beliau, tahap kesihatan Mehrtens dilaporkan stabil, meskipun juruterbang itu kehilangan berat badan yang ketara.
Dalam pada itu, dari segi psikologi, pihaknya telah melakukan kaunseling dan mendapati Mehrtens tiada mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD), sekali gus membolehkanyya sedia untuk diterbangkan ke Jakarta.
Dalam rakaman yang dikeluarkan tentera Indonesia, Mehrtens dilihat bercakap dengan penuh emosi kepada keluarganya melalui telefon.
Satu kumpulan serpihan Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB) diketuai Egianus Kogoya, telah menculik Mehrtens pada 7 Februari 2023, selepas mendarat dengan pesawat komersial kecil di kawasan pergunungan terpencil Nduga.
#New Zealand #Phillip Mehrtens #culik juruterbang #Bambang Trisnohadi
;