Juruterbang mogok, ratusan penumpang Kenya Airways terkandas

Astro Awani
November 7, 2022 06:45 MYT
Keadaan di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta di Nairobi, Kenya, 7 Nov 2022. - Foto AP
RATUSAN penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta, Nairobi, Kenya berang, gara-gara tindakan mogok oleh juruterbang Kenya Airways.
Sebahagian mereka sudah terkandas selama empat hari, selepas mogok berkenaan melumpuhkan operasi syarikat penerbangan terbesar negara itu.
Kalangan penumpang terpaksa mengambil penerbangan alternatif untuk ke destinasi tujuan mereka.
Mereka mendakwa menjadi mangsa sedangkan pihak berkuasa Kenya gagal bertindak menangani masalah berkenaan.
Mogok juruterbang syarikat berkenaan bermula 6 pagi Sabtu waktu tempatan.
Kumpulan juruterbang mendakwa mogok dilaksanakan selepas pengurusan gagal mendengar masalah mereka.
Sementara itu, Kenya Airways dalam satu kenyataan memberi amaran, juruterbang yang mogok akan dipecat jika tidak kembali bekerja.
Ia berkata, mogok yang berlangsung adalah tidak sah.
Syarikat itu mendakwa, tindakan mogok boleh mengancam proses pemulihan pasca pandemik dan menyebabkan kerugian sekurang-kurangnya AS$2.5 juta sehari.
#juruterbang mogok #penumpang terkandas #Nairobi #kenya airways
;