Juruterbang mogok, lebih 120 penerbangan dibatalkan

Astro Awani
April 2, 2022 21:19 MYT
Alaska Airlines berkata, pihaknya sentiasa menghargai dan menghormati hak juruterbang berkenaan untuk melakukan bantahan. - Gambar/ Twitter Alaska Airlines Pilots
ALASKA: Lebih 120 penerbangan Alaska Airlines terpaksa dibatalkan selepas kebanyakan juruterbangnya melakukan mogok di beberapa bandar utama negara itu susulan isu rundingan kontrak mereka yang sudah berlanjutan selama tiga tahun.
Setakat Jumaat, hanya sembilan peratus penerbangan diteruskan, menyebabkan kira-kira 15,300 penumpang terjejas.
Penerbangan yang dibatalkan termasuk 66 di Seattle, 20 di Portlandm, 10 di Los Angeles dan tujuh di San Francisco.
Alaska Airlines menjangkakan lebih banyak penerbangan akan dibatalkan sepanjang hujung minggu ini.
Ia merupakan bantahan susulan yang dibuat selepas mogok pertama diadakan pada minggu lalu di New York melalui Persatuan Juruterbang.
Pembatalan penerbangan itu berlaku ketika kebanyakan warga Amerika mula merancang percutian sempena musim bunga selepas tertangguh susulan pandemik COVID-19.
Kebanyakan penumpang meluahkan rasa kecewa berikutan pembatalan penerbangan itu dan terpaksa menunggu sehingga 10 jam untuk bercakap dengan wakil syarikat penerbangan bagi penjadualan semula penerbangan.
Dalam pada itu, Alaska Airlines berkata, pihaknya sentiasa menghargai dan menghormati hak juruterbang berkenaan untuk melakukan bantahan.
Namun, mereka juga perlu sedia berunding bagi mengekalkan pembangunan dan memberi keuntungan kepada syarikat.
Syarikat penerbangan itu ketika ini berusaha untuk memulihkan kerugian 2.3 bilion dolar yang dialami kesan pandemik COVID-19.
#penerbangan #Juruterbang #Alaska Airlines #mogok
;