Juruterbang Citilink mabuk dipecat, dua eksekutif letak jawatan

Agensi
Disember 31, 2016 15:35 MYT
Imej pegun daripada rakaman video yang tersebar tentang gelagat juruterbang tersebut sewaktu di gerbang pemeriksaan keselamatan di Surabaya. - Foto: YouTube
Pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran kepada syarikat penerbangan Citilink Indonesia selepas sebuah video tersebar menunjukkan seorang juruterbangnya dalam keadaan mabuk sedang melepasi pemeriksaan keselamatan, dan kemudian membuat pengumuman yang ‘aneh’ sewaktu dalam pesawat.
Citilink yang di bawah pengurusan syarikat induk, Garuda Indonesia, berkata pihaknya telah memecat juruterbang itu selepas insiden itu yang berlaku pada 28 Disember lalu di lapangan terbang Surabaya.
Dua eksekutif syarikat penerbangan itu juga menawarkan diri untuk meletakkan jawatan susulan insiden berkenaan.
Ketua Eksekutif Citilink, Albert Burhan dan Pengarah Operasi, Hadinoto Soedigno, menawarkan peletakan jawatan berikutan insiden berkenaan.
"Juruterbang telah melakukan kesalahan serius melanggar prosedur operasi standard yang membahayakan penumpang.
"Kami memohon maaf atas ketidakselesaan yang berlaku. Saya harus bertanggungjawab atas kejadian ini dan dengan itu saya dan pengarah operasi meletakkan jawatan," ujar Albert.
Jurucakap Citilink, Benny Butarbutar pada Sabtu berkata, pihak syarikat tidak sekali-kali mengetepikan soal keselamatan pesawat, apatah lagi ia melibatkan keselamatan penumpang.
Dalam rakaman video tersebut, juruterbang berkenaan dilihat terhuyung-hayang dan tergopoh-gapah ketika mahu meletakkan begnya di alat imbasan sinar-X di gerbang pemeriksaan keselamatan.
Pegawai pemeriksaan juga dilihat terpaksa membantunya mengutip beberapa barangan yang jatuh ke lantai dari begnya, sedangkan juruterbang itu hanya terpinga-pinga.
Dalam pesawat yang sepatutnya berlepas ke Jakarta itu, penumpang menzahirkan rasa kurang senang kerana pengumuman penerbangan yang dibuat oleh juruterbang itu kedengaran melalut dan tidak jelas.
Tugas juruterbang mabuk itu kemudiannya digantikan sebelum pesawat berlepas, namun menyebabkan waktu penerbangan terlewat kira-kira satu jam. Beberapa penumpang juga dilaporkan mahu membatalkan perjalanan mereka kerana tidak yakin dengan situasi keselamatan mereka.
Ketua Suruhanjaya Pengangkutan, Fary Djemi Francis, berkata Citilink telah diminta menyiasat sama ada juruterbang itu di bawah pengaruh dadah, selain meminta pihak mengurusan memberi penjelasan atas tindakan juruterbang tersebut yang tidak mengikuti sesi taklimat serta ujian kecergasan sebelum penerbangan.
#Indonesia #juruterbang Citilink #juruterbang mabuk #penerbangan tergendala
;