Jurutera Indonesia ditahan, didakwa curi rahsia teknologi pesawat tempur Korea Selatan

Amanz
Februari 2, 2024 12:10 MYT
KAI KF-21 Boramae ialah usaha Korea Selatan membangunkan pesawat tempur generasi 4.5 menggunakan kepakaran tempatan. -Amanz
JURUTERA warga negara Indonesia telah ditahan di Korea Selatan kerana didakwa cuba mencuri teknologi pesawat tempur KAI KF-21 Boramae.
Mereka dipercayai menyimpan data rahsia program pesawat tempur ini di dalam pemacu USB.
Data yang dijumpai dalam pemacu kini sedang dianalisis bagi melihat sama ada ia terdiri daripada teknologi strategik yang tidak sepatutnya diambil.
KAI KF-21 Boramae ialah usaha Korea Selatan membangunkan pesawat tempur generasi 4.5 menggunakan kepakaran tempatan.
Indonesia ialah rakan kongsi pembangunan pesawat yang pada asalnya menggunakan nama KAI KF-X dengan persetujuan menanggung 20% daripada kos program bernilai 8.8 trilion Won (~RM 32 bilion).
Pada tahun 2021, Indonesia dikatakan ingin mempertimbangkan semula penyertaan kerana kos yang tinggi. Tahun lalu mereka meneruskan komitmen tetapi menurut laporan media Korea, Indonesia masih mempunyai tunggakan bayaran 1 trilion Won (~RM 3.6 bilion).
Tahun lalu Indonesia dibenarkan membeli 24 Boeing F-15EX yang merupakan pesawat tempur generasi keempat yang dipermodenkan dengan sistem hampir setanding pesawat tempur generasi kelima.
Korea mungkin risau Indonesia akan cuba menarik diri sekali lagi tetapi pada masa yang sama masih mengakses teknologi mereka yang belum dibayar. -Amanz
#Korea Selatan #Indonesia #KAI KF-21 Boramae #curi teknologi pesawat tempur
;