Juruteknik pesawat maut tersepit pintu
Agensi
Julai 11, 2019 08:23 MYT
Julai 11, 2019 08:23 MYT
SEORANG juruteknik sebuah penerbangan India, SpiceJet maut dalam keadaan yang mengejutkan selepas tersepit pada bahagian pintu pesawat itu dalam kejadian di Kolkata, pada Rabu.
Rohit Pandey sedang melakukan kerja penyelenggaraan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhash Chandra Bose sebelum pintu hidraulik berkenaan secara tiba-tiba tertutup.
Menurut jurucakap SpiceJet, Pandey dilaporkan tersepit pada bahagian pintu sebelum mereka menghubungi doktor bagi memaklumkan kejadian yang berlaku sekitar pukul 1.45 pagi itu.
“Tubuhnya tidak boleh ditarik keluar dan pintu pesawat perlu dipotong oleh mekanik,” kata pengarahnya, Kaushik Bhattacharya.
Tidak lama selepas itu, Pandey disahkan meninggal dunia sebaik pintu itu dipecahkan.
Sementara itu, Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) bertindak melakukan siasatan menyeluruh atas kejadian yang menimpa mangsa.
Kejadian itu merupakan sebuah tragedi yang menyedihkan buat syarikat penerbangan SpiceJet yang sebelum ini mempunyai reputasi yang sangat bagus.
Pesawat itu turut dipetik oleh AirlineRatings.com atas pematuhannya dengan parameter keselamatan antarabangsa dan rekod tanpa kematian.
Bagaimanapun, sejak insiden yang menimpa Pandey, syarikat penerbangan tambang murah itu terus berdepan kesukaran.
Minggu lalu, sebuah pesawat SpiceJet mendarat melepasti had landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj di Mumbai, menurut laporan CNN affiliate News18.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun pesawat itu masih terkandas di landasan.
Pada Selasa, DGCA yang menjalankan audit keselamatan menemui terdapat masalah berkaitan aspek penyelenggaraan dan syarikat berkenaan diminta memberikan notis mandatori sebagai maklum balas atas penemuan berkenaan.