Jurucakap pergerakan Ikhwanul Muslimin ditahan polis

Astro Awani
September 18, 2013 09:01 MYT
Polis Mesir menahan jurucakap pergerakan Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad dalam satu serbuan di sebuah kediaman di bandar Nasr.
Menurut pihak berkuasa, bekas Gabenor Wilayah Qalyoubiya, Hossan Abu Bkr antara yang ditahan bersama Gehad di dalam serbuan itu.
Gehad dipercayai menyembunyikan diri sejak pihak berkuasa menggempur kem penunjuk perasaan di Dataran Rabaa Al-Adawiya pertengahan bulan lalu.
Pasukan keselamatan Mesir yang dibantu kenderaan berperisai dan helikopter turut menyerbu bandar di selatan Kaherah yang menjadi kubu kuat penyokong bekas presiden, Dr Mohammed Morsi.
Ketibaan mereka disambut dengan tembakan bertali arus kira-kira 10 minit menyebabkan 11 orang cedera.
Bagaimanapun, pasukan tentera berjaya mengawal keadaan dan mula menggeledah setiap kediaman bagi memburu pelampau.
Operasi bagi menawan semula bandar Dalga di dalam wilayah Minya itu dilancarkan bagi menangkap kumpulan yang mencetuskan siri keganasan di Mesir selepas penggulingan Morsi 3 Julai lalu.
Dalam operasi itu, 88 suspek daripada 312 senarai individu dikehendaki berjaya ditahan selain kerajaan berjaya menawan semula kubu kuat pelampau itu.
#Gehad El-Haddad #Hossan Abu Bkr