Jurang Israel dan Hamas kekal - White House
Astro Awani
Julai 9, 2024 08:00 MYT
Julai 9, 2024 08:00 MYT
KAHERAH: Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berada di Kaherah untuk rundingan bagi mencapai gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Namun jurucakap keselamatan White House, John Kirby akui, jurang ketara masih kekal antara kedua-dua pihak.
Kirby berkata Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns dan utusan Asia Barat AS, Brett McGurk berada di Mesir untuk bertemu dengan rakan sejawatan mereka dari Mesir, Israel dan Jordan pada Isnin.
Tambah beliau, kesemua mereka berusaha keras mencapai rundingan gencatan senjata.
Bagaimanapun Kirby yakin ada sedikit sinar harapan dan rundingan gencatan itu mungkin berjaya.
Hamas minggu lalu menggugurkan tuntutan bahawa Israel terlebih dahulu melakukan gencatan senjata kekal sebelum pihaknya menandatangani perjanjian.
Sebaliknya, kumpulan Hamas akan sedia jika gencatan itu dikuatkuasakan dalam fasa pertama enam minggu.
Tindakan itu meyakinkan pasukan perunding Israel berhubung prospek sebenar untuk perjanjian.
Kirby mengulangi pendirian lama Washington bahawa lebih banyak perkara perlu dilakukan Israel untuk melindungi orang awam.