Junta tentera Myanmar benar rakyat 'setia' bawa senjata

Astro Awani
Februari 12, 2023 07:00 MYT
Pegawai kerajaan Myanmar memberi penghormatan kepada bendera kebangsaan semasa upacara Hari Kebangsaan Myanmar ke-76 di Naypyitaw, Myanmar. - Foto AP
JUNTA tentera Myanmar membenarkan orang awam yang 'taat dan setia kepada negara' memohon lesen untuk membawa senjata api.
Ia didedahkan laporan media tempatan, berdasarkan dokumen sulit Kementerian Dalam Negeri yang bocor.
Pakar bimbang dengan tindakan membenarkan orang awam membawa senjata akan memperkasakan kumpulan pro-junta dan hanya meningkatkan keganasan dan pertempuran hampir setiap hari.
Syarat-syarat yang dinyatakan dalam dokumen itu termasuk berumur 18 tahun dan keperluan yang boleh dibuktikan untuk memiliki senjata bagi tujuan keselamatan sebagai tambahan kepada keperluan 'kesetiaan kepada negara'.
Tiada sebarang pengesahan dibuat jurucakap tentera junta Myanmar berdasarkan pendedahan itu.
Dokumen itu memperuntukkan anggota anti-pemberontakan, militia yang ditubuhkan secara rasmi dan mereka yang bersara daripada tentera untuk membawa senjata dan senapang ringan selagi mereka mempunyai permit sedemikian.
Ia menambah, kerajaan tentera akan mempunyai hak untuk mengimport dan menjual senjata api dan peluru yang dilesenkan oleh Kementerian Pertahanan.
Junta tentera mengetuai rampasan kuasa pada Februari 2021 sekaligus menggulingkan kerajaan sedia ada pimpinan Aung San Su Kyi.
#Junta #orang awam #senjata api #dokumen sulit
;