Junta Myanmar tarik balik pengampunan ahli ekonomi Australia Sean Turnell

Bernama
Januari 26, 2023 17:42 MYT
Turnell (kanan) ialah penasihat ekonomi kepada Suu Kyi ketika tentera mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada Februari 2021.- Foto Twitter @AlboMP
ANKARA: Junta tentera Myanmar membatalkan pengampunan penjara seorang ahli ekonomi dan penasihat dari Australia yang dibebaskan tahun lepas dan telah pun kembali ke negara asalnya, memetik media tempatan pada Khamis.
Sean Turnell pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi yang digulingkan dibebaskan pada November selepas menghabiskan hampir 21 bulan di penjara.
Junta tentera membatalkan pengampunannya dan mengarahkan dia hadir ke mahkamah Myanmar kerana didakwa berkongsi maklumat salah tentang Myanmar dalam satu wawancara, lapor Agensi Anadolu memetik ABC News.
Kerajaan Australia menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terbaharu itu.
"Kerajaan Australia tidak pernah menerima sebab penahanan Profesor Turnell mahupun pertuduhan yang difailkan terhadapnya dan kami kecewa kerana dia didakwa dengan kesalahan yang tidak jelas selepas dibebaskan," menurut penyiar itu memetik kenyataan Kementerian Luar Australia.
Turnell ialah penasihat ekonomi kepada Suu Kyi ketika tentera mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada Februari 2021.
Selepas ditahan mahkamah junta tentera menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada Turnell atas tuduhan melanggar akta rahsia rasmi.
Junta tentera membebaskan 5,744 banduan pada November tahun lalu termasuk bekas Duta Britain Vicky Bowman dan suaminya Ko Htein Lin, pembuat filem Jepun Toru Kubota dan Turnell.
-- BERNAMA
#Australia #Junta #Myanmar #Sean Turnell
;