Junta Myanmar selar sidang kemuncak ASEAN pinggir jeneral
Astro Awani
Ogos 17, 2022 07:15 MYT
Ogos 17, 2022 07:15 MYT
JUNTA tentera Myanmar menyelar ASEAN kerana mengecualikan para jeneralnya daripada perhimpunan serantau dan menuduh kumpulan itu mengalah kepada tekanan luar.
Menurut jurucakapnya, Zaw Min Tun, jika ada kerusi yang mewakili sesebuah negara kosong, maka ia tidak sepatutnya dilabelkan sebagai sidang kemuncak ASEAN.
Bercakap pada sidang media pada Rabu, beliau menjelaskan, Myanmar sedang berusaha melaksanakan lima konsensus pelan damai yang dipersetujui blok 10 negara itu tahun lalu.
"Namun, apa yang mereka mahu ialah supaya junta berjumpa dan berbincang dengan kumpulan pengganas," katanya merujuk kepada kumpulan pro demokrasi yang mengangkat senjata menentangnya. .
Beliau berkata, ASEAN melanggar dasar sendiri yang tidak campur tangan dalam hal ehwal kedaulatan sesebuah negara semasa menghadapi "tekanan luar".
ASEAN sebelum ini mengecam junta Myanmar kerana didakwa gagal mencapai kemajuan konkrit dalam pelan damai.
Sehubungan itu ia menghalang jeneral Myanmar daripada menghadiri mesyuarat serantau sehingga negara itu berjaya mencatat kemajuan dalam pelan damai tersebut.
Menteri Luar Kemboja yang ketika ini mempengerusikan ASEAN enggan mengulas mengenai perkara itu buat masa ini.
Junta telah menolak tawaran untuk menghantar wakil bukan politik ke mesyuarat ASEAN.
Tentera Myanmar merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih tahun lalu dan sejak itu telah menggunakan kekerasan serta keganasan untuk menyuraikan protes orang awam.
Terbaru, junta dikritik kerana melaksanakan hukuman mati kepada aktivis politik dan memenjarakan Aung San Suu Kyi.