Junta Myanmar lanjutkan darurat, kali keempat sejak rampasan kuasa

Bernama
Julai 31, 2023 22:22 MYT
Junta tentera di Myanmar pada Isnin melanjutkan tempoh darurat buat kali keempat sejak rampasan kuasa pada 2021. - Foto AP
ISTANBUL: Junta tentera di Myanmar pada Isnin melanjutkan tempoh darurat buat kali keempat sejak rampasan kuasa pada 2021.
Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Myanmar mengumumkan bahawa darurat yang sepatutnya berakhir pada 31 Julai, dilanjutkan selama enam bulan lagi, lapor Agensi Anadolu memetik laman sesawang Myanmar Now.
Kali terakhir junta melanjutkan darurat adalah pada Februari tahun ini.
Majlis itu juga membincangkan pilihan raya yang tertangguh di negara Asia Tenggara itu.
Pasukan tentera yang dikenali sebagai Tatmadaw, melancarkan rampasan kuasa tentera pada 1 Feb 2021, menggulingkan kerajaan Liga Kebangsaan untuk Demokrasi dan memenjarakan barisan kepimpinannya, termasuk Aung San Suu Kyi.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1.5 juta orang hilang tempat tinggal dalam tempoh dua tahun lalu, manakala lebih lima juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan di Myanmar.
Sekurang-kurangnya 2,890 orang maut di tangan tentera, manakala 767 individu ditahan sejak tentera mengambil alih kuasa, menurut data PBB.
-- BERNAMA
#junta tentera #Myanmar #lanjut tempoh darurat #rampasan kuasa
;