Junta Myanmar import AS$1 bilion senjata sejak rampasan kuasa 2021 - PBB

Bernama
Mei 18, 2023 12:45 MYT
Laporan Majlis Hak Asasi Manusia PBB oleh Pelapor Khas Tom Andrew menamakan Rusia dan China sebagai pembekal terbesar senjata kepada junta. - Fail/REUTERS
VIENNA: Junta tentera Myanmar yang merampas kuasa pada awal 2021 mengimport senjata api asing dan bahan pembuatan senjata bernilai sekurang-kurangnya US$1 bilion, menurut laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata agensi berita Jerman (dpa).
Laporan Majlis Hak Asasi Manusia PBB oleh Pelapor Khas Tom Andrew menamakan Rusia dan China sebagai pembekal terbesar senjata kepada junta.
Sejak rampasan kuasa dan penyingkiran pemimpin Aung San Suu Kyi, tentera memerintah Myanmar secara kuku besi. Penentangan kumpulan bersenjata di kebanyakan wilayah ditangani menerusi tangkapan besar-besaran dan serangan udara.
Laporan itu memetik eksport dari Rusia (AS$406 juta), diikuti oleh China (AS$267 juta), Singapura (AS$254 juta), India (AS$51 juta) dan Thailand (AS$28 juta).
Andrews menuduh negara-negara itu "sama ada bersubahat secara langsung atau penguatkuasaan sekatan yang longgar dan pengharaman senjata dan teknologi dwi-guna ke Myanmar," yang dahulunya dikenali sebagai Burma.
Laporan itu berdasarkan data syarikat dan perdagangan serta "maklumat yang sangat boleh dipercayai dan terperinci daripada sumber dirahsiakan," yang tidak dinamakan atas sebab keselamatan.
Majlis Keselamatan PBB belum lagi mengenakan sebarang sekatan antarabangsa untuk menghentikan eksport itu. Andrews menggesa agar sekatan senjata sepenuhnya dan sekatan ke atas syarikat minyak dan gas milik kerajaan Myanmar, yang menurut laporan itu digunakan untuk membiayai pebelian senjata.
-- BERNAMA
#juntar Myanmar #import senjata #Laporan PBB #Tom Andrew
;