Junta arah duta Perancis keluar dari Niger dalam tempoh 48 jam
Bernama
Ogos 26, 2023 13:15 MYT
Ogos 26, 2023 13:15 MYT
NIAMEY: Junta Niger mengarahkan duta Perancis meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam, lapor Xinhua memetik kenyataan akhbar Kementerian Luar dan Kerjasama Niger pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, junta memutuskan untuk membatalkan akreditasi Duta Perancis Sylvain Itte susulan beberapa tindakan yang didakwa bertentangan dengan kepentingan Niger.
Tindakan itu termasuk keengganan duta Perancis untuk menjawab jemputan Menteri Luar dan Kerjasama Niger.
Kementerian Luar Perancis berkata pada Jumaat, mereka tidak akan menerima permintaan junta, dengan mengatakan "kerajaan tentera tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Perancis menarik balik utusannya", lapor AFP.
Pada 26 Julai lalu askar Niger menggulingkan Presiden Mohamed Bazoum, beberapa jam selepas presiden itu didakwa dijadikan tebusan.
-- BERNAMA