AS jumpa pemimpin baharu Syria
Astro Awani
Disember 21, 2024 09:40 MYT
Disember 21, 2024 09:40 MYT
DAMSYIK: Diplomat kanan Amerika Syarikat (AS) yang melawat Damsyik bertemu dengan pemimpin baharu Syria, Ahmed Al-Sharaa, pada Jumaat.
Ini merupakan pertemuan empat mata pertama sejak penggulingan Presiden Bashar Al-Assad oleh kumpulan Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) dua minggu lalu.
Pertemuan tersebut dianggap "sangat produktif" dan menghasilkan keputusan untuk membatalkan ganjaran AS$10 juta yang ditawarkan oleh AS ke atas Al-Sharaa.
Diplomat tertinggi AS untuk Asia Barat, Barbara Leaf menyatakan bahawa pertemuan itu adalah satu langkah awal yang baik dan menekankan bahawa AS akan menilai berdasarkan tindakan, bukan hanya kata-kata.
Katanya, Al-Sharaa kelihatan pragmatik dan komited untuk memastikan kerajaan baharu Syria bersifat inklusif dan mampu mencegah ancaman kumpulan pengganas.
Dalam sidang media, Leaf menjelaskan bahawa AS telah menetapkan prinsip-prinsip seperti inklusiviti dan penghormatan terhadap hak minoriti yang perlu dimasukkan dalam proses peralihan politik Syria.
Tambahnya, Ahmed Al-Sharaa bersetuju dengan perkara itu.
Pertemuan ini menandakan permulaan saluran diplomatik baharu antara AS dan HTS, yang pernah dikenali sebagai cawangan Al-Qaeda di Syria.
Walaupun terdapat kegembiraan dalam kalangan kuasa barat dan rakyat Syria dengan penggulingan Assad, masa depan Syria di bawah pimpinan HTS masih kabur, sama ada akan bergerak ke arah demokrasi atau sebaliknya.
Rejim Bashar digulingkan pada 8 Disember selepas 13 tahun perang saudara yang meragut ratusan ribu nyawa, menyebabkan krisis pelarian terbesar dalam sejarah moden, serta memusnahkan infrastruktur bandar dan ekonomi negara.
Di bawah pimpinan Al-Sharaa, pasukan pemberontak telah menubuhkan kerajaan sementara selama tiga bulan untuk menguruskan kawasan pemberontak di wilayah Idlib, Syria.