Jumpa peluru dalam pesawat, 230 penumpang diarah berpatah balik
Agensi
Mac 10, 2023 18:25 MYT
Mac 10, 2023 18:25 MYT
SEOUL: Seramai 230 penumpang pesawat penerbangan Korean Air berdepan detik cemas apabila diarah keluar dari pesawat selepas pihak berkuasa menemukan dua peluru hidup sebelum pesawat berlepas.
Memetik laporan Reuters, kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon itu menyaksikan pesawat yang sepatutnya berlepas ke Manila pada jam 7.45 pagi terpaksa ditunda sehingga 11 pagi.
Difahamkan, pesawat dibenarkan berlepas selepas pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dan mengenal pasti tiada risiko berkaitan keganasan.
Peluru sembilan milimeter itu ditemukan oleh salah seorang penumpang sebelum pesawat berlepas.
"Kami sedang menyiasat bagaimana peluru boleh berada di dalam pesawat," kata pegawai polis bertugas.
Dalam pada itu, seorang kakitangan Korean Air memaklumkan syarikat penerbangan itu sedang memantau secara rapat hasil siasatan polis.
Korea Selatan memiliki undang-undang senjata api yang ketat. Sekiranya seseorang didapati menyimpan senjata api secara haram, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga AS$75,300 (RM340,356). -- Agensi