Jumlah rakyat Korea Selatan umur 60 tahun ke atas yang masih bekerja meningkat
Bernama
Mac 19, 2023 06:30 MYT
Mac 19, 2023 06:30 MYT
SEOUL: Jumlah rakyat Korea Selatan yang berumur 60 tahun ke atas dan masih bekerja meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun lalu berikutan peningkatan kos sara hidup, di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.
Jumlah itu melonjak kepada 5.77 juta pada Februari berbanding 2.73 juta pada bulan yang sama tahun 2013, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Perkhidmatan Maklumat Statistik Korea (KOSIS).
Angka 5.77 juta itu juga adalah yang tertinggi untuk Februari sejak KOSIS mula menyusun data berkaitan pada 1996.
"Sebahagian daripada mereka perlu bekerja terutamanya kerana peningkatan harga pengguna," menurut KOSIS.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, kadar pekerjaan dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas terus meningkat, mencecah 42.8 peratus pada Februari daripada 32.8 peratus sedekad lalu.
-- BERNAMA