Jumlah rakan kongsi FTA China semakin meningkat

Bernama
Mac 3, 2023 23:43 MYT
Ketika ini, jumlah nilai perdagangan luar China dengan rakan-rakan perjanjian perdagangan bebas telah merekodkan RMB14.25 trilion (RM 9.24 trilion) pada tahun 2022. - Foto REUTERS
BEIJING: Kawasan perdagangan bebas (FTA) China semakin diperluas, menyaksikan China telah menganggotai 19 FTA manakala jumlah rakan kongsi meningkat kepada 26, menurut Kementerian Perdagangan China dalam sesi taklimat pada Khamis.
"Boleh dikatakan, satu rangkaian perjanjian perdagangan bebas yang berasaskan negara-negara jiran, meliputi negara-negara terlibat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) malah merangkumi dunia telah dibina pada peringkat awal.
"Terutamanya pada tahun lalu, pembinaan perjanjian perdagangan bebas negara ini mencapai kemajuan baharu dengan penguatkuasaan FTA dengan Kemboja dan protokal penaiktrafan perjanjian perdagangan bebas dengan New Zealand," menurut pegawai kementerian itu.
Selain itu, China juga menandatangani pemperolehan peringkat awal perjanjian perdagangan bebas dengan Nicaragua di samping melancarkan rundingan perjanjian tersebut dengan negara itu.
Rundingan kawasan perdagangan bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 juga telah dimulakan manakala rundingan dengan enam negara dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan, sekali gus dijangka mampu menggalakkan lagi perdagangan luar China.
Ketika ini, jumlah nilai perdagangan luar China dengan rakan-rakan perjanjian perdagangan bebas telah merekodkan RMB14.25 trilion (RM 9.24 trilion) pada tahun 2022 dan angka itu menyaksikan peningkatan 7.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, selain mencakupi 34 peratus daripada jumlah nilai perdagangan luar negara Tembok Besar ini.
-- BERNAMA
#China #FTA #BRI #CAFTA
;