Jumlah penumpang udara di Singapura cecah 31 peratus
Bernama
April 18, 2022 04:32 MYT
April 18, 2022 04:32 MYT
SINGAPURA: Jumlah penumpang udara di Singapura mencecah 400,000 atau 31 peratus dari tahap pasca-COVID untuk minggu berakhir 17 April 2022, meningkat 18 peratus berbanding bulan lepas, berikutan pembukaan semula sempadan kepada pengembara lengkap vaksinasi, mulai 1 April 2022.
"Perjalanan udara kembali pulih dengan baik dan kami jangka jumlahnya akan terus meningkat, terutamanya pada hujung minggu sepanjang Aidilfitri dan musim cuti sekolah pada Jun," kata Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) Han Kok Juan dalam satu kenyataan semalam.
Menurut CAAS, peningkatan itu berdasarkan volum trafik yang meningkat di semua pasaran utama, dengan pertumbuhan kukuh terutamanya trafik keluar dan masuk dari Australia, Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Peningkatkan itu membabitkan pelancong antarabangsa dan tempatan, dengan warga Singapura dan penduduk tetap merangkumi 32 peratus daripada jumlah keseluruhan, katanya.
Bilangan penerbangan penumpang juga meningkat kepada 38 peratus pada minggu yang sama berbanding 29 peratus pada bulan lepas.
Kekerapan penerbangan keluar dan masuk dari Australia, India, Indonesia, Malaysia dan Vietnam turut menyaksikan peningkatan yang ketara, katanya.
-- BERNAMA