Jumlah pengguna produk AI generatif di China cecah 230 juta

Bernama
Disember 1, 2024 05:30 MYT
Jumlah pengguna produk kecerdasan buatan (AI) generatif di China mencecah 230 juta pada Jun 2024, mencerminkan penggunaan meluas teknologi berkenaan dalam pelbagai industri di negara itu. - Gambar hiasan/amanz
BEIJING: Jumlah pengguna produk kecerdasan buatan (AI) generatif di China mencecah 230 juta pada Jun 2024, mencerminkan penggunaan meluas teknologi berkenaan dalam pelbagai industri di negara itu, menurut laporan yang dikeluarkan pada Sabtu, lapor Xinhua.
China membangunkan ekosistem industri AI yang agak komprehensif dengan lebih 4,500 syarikat berkaitan sektor ini, menurut laporan mengenai pembangunan AI generatif yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Rangkaian Internet China (CNNIC).
Industri AI generatif di China berkembang pesat, dengan nilai teras sektor itu menghampiri 600 bilion yuan (kira-kira AS$82.84 bilion).
Ekosistem industri ini meliputi pelbagai bidang penting, termasuk cip, algoritma, data, platform dan aplikasi, merangkumi aspek huluan dan hiliran.
Setakat Julai 2024, lebih 190 model AI generatif didaftarkan dan beroperasi dalam talian, menawarkan pelbagai pilihan serta pengalaman yang disesuaikan kepada pengguna, menurut laporan itu.
China mengeluarkan peraturan pengurusan sementara untuk perkhidmatan itu pada Julai 2023 - peraturan pertama seumpamanya di dunia.
Satu resolusi reformasi penting yang diterima pakai pada sesi pleno ketiga Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China ke-20 pada Julai 2024 turut menyatakan bahawa negara itu akan memperbaiki mekanisme pembangunan dan pengurusan AI generatif.
- BERNAMA
#kecerdasan buatan #pengguna produk AI generatif #China #teknologi
;