Jumlah penduduk berusia lebih 100 tahun di Jepun melepasi 92,000
Bernama
September 15, 2023 15:55 MYT
September 15, 2023 15:55 MYT
TOKYO: Bilangan penduduk berusia seratus tahun di Jepun buat kali pertama melepasi 92,000, mencecah rekod tertinggi bagi tahun ke-53 berturut-turut, menurut laporan kerajaan pada Jumaat.
Bilangan orang yang berusia lebih 100 tahun meningkat sebanyak 1,613 berbanding tahun sebelumnya kepada 92,139, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Kementerian Kesihatan di Tokyo.
Menurut tinjauan terbaharu, kira-kira 88 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 100 tahun terdiri daripada wanita.
Jangka hayat untuk wanita di Jepun adalah sekitar 87 tahun, manakala lelaki sekitar 81 tahun.
Menurut angka rasmi, Jepun menyaksikan peningkatan pesat bilangan penduduk berusia 100 tahun sejak kerajaan mula-mula mengenal pasti sejumlah 153 berusia lebih 100 tahun pada 1963, angka itu melebihi 10,000 orang pada 1998 dan 50,000 pada 2012.
Jepun menghadapi beban demografi yang meningkat selepas berdekad-dekad mengalami kepesatan kadar menua dan penurunan kadar kelahiran.
Ekonomi ketiga terbesar di dunia itu menua lebih cepat daripada negara perindustrian lain.
Penduduk Jepun juga menyusut pada kadar yang tinggi dengan bilangan penduduk merosot sebanyak 801,000 pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya kepada hanya 122.4 juta, penurunan paling ketara sejak data mula direkodkan.
-- BERNAMA