Jumlah korban di Gaza meningkat kepada 38,443, lebih 88,000 cedera

Bernama
Julai 13, 2024 15:45 MYT
Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 38,443 orang, dengan 88,481 individu mengalami kecederaan. - Gambar fail/AP
GAZA: Pasukan tentera Israel telah melakukan empat pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga-keluarga di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lepas, mengakibatkan sekurang-kurangnya 61 rakyat Palestin terbunuh dan 129 lagi cedera, menurut sumber perubatan.

Ringkasan AI
  • Tentera Israel membunuh 61 rakyat Palestin dan mencederakan 129 orang dalam empat serangan di Gaza dalam tempoh 24 jam, menurut sumber perubatan.
  • Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober meningkat kepada 38,443 orang dengan 88,481 cedera, kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
  • Serangan udara besar-besaran oleh jet pejuang Israel di kawasan Al-Mawasi menyebabkan 71 orang terbunuh dan 289 cedera, namun pasukan penyelamat menghadapi halangan untuk membantu mangsa kerana tentera Israel menghalang pergerakan mereka.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan bahawa jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 38,443 orang, dengan 88,481 individu mengalami kecederaan.
Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Dilaporkan bahawa sekitar pukul 10.30 pagi (waktu tempatan), jet pejuang Israel melancarkan beberapa serangan udara besar-besaran yang menyasarkan kawasan berpenduduk padat Al-Mawasi, yang merupakan tempat berlindung penduduk yang terpaksa berpindah dari seluruh Semenanjung Gaza.
Jumlah korban pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di kawasan Al-Mawasi meningkat dengan mendadak, dengan lebih daripada 71 orang disahkan terbunuh dan lebih 289 cedera, termasuk ramai yang dalam keadaan kritikal.
Pasukan ambulans dan penyelamat masih tidak dapat membantu banyak mangsa dan mengeluarkan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau berselerak di jalan raya di seluruh kawasan konflik, kerana tentera Israel terus menghalang pergerakan pasukan ambulans dan pertahanan awam.
-- BERNAMA
#Gaza #jumlah korban #Palestin #Israel