Jumlah korban banjir Filipina meningkat 51 orang
Sinar Harian
Januari 2, 2023 22:48 MYT
Januari 2, 2023 22:48 MYT
JUMLAH kematian akibat bencana banjir dan tanah runtuh baru-baru ini meningkat kepada 51 orang.
Menurut Agensi Bencana Negara Filipina, jumlah kematian mungkin meningkat apabila pihak berkuasa masih mencari 19 lagi mangsa masih hilang selepas hujan lebat pada minggu lalu menenggelamkan wilayah tengah dan selatan.
Cuaca buruk melanda ketika negara majoriti didiami penduduk Katolik sedang bersiap sedia merayakan sambutan Krismas.
Setakat ini, lebih 270,000 orang mendapatkan perlindungan sementara apabila hujan lebat membanjiri kampung di luar bandar yang turut menyebabkan 4,500 rumah rosak serta 7,000 hektar tanaman musnah.
Kebanyakan kematian berlaku di wilayah Misamis Occidental, di selatan pulau Mindanao, di mana 19 orang maut akibat lemas atau tanah runtuh akibat hujan.
Filipina disenaraikan antara negara terdedah kepada kesan perubahan iklim dan saintis memberi amaran bahawa ribut kembali 'mengganas' apabila bumi semakin panas. - Sinar Harian/ Agensi