Jumlah kenderaan elektrik China cecah 10 juta unit

Bernama
April 20, 2022 16:18 MYT
Jurucakap kementerian Luo Junjie berkata jumlah jualan kenderaan elektrik jenama China meningkat 1.5 kali ganda. - Gambar hiasan/Unsplash
BEIJING: Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China mendedahkan jumlah kenderaan elektrik di negara Tembok Besar kini mencecah 10.33 juta, sekali gus menjadi peneraju penting dalam transformasi industri kenderaan elektrik global.
Menurut statistik yang dikeluarkan, skala industri kenderaan elektrik mencatat rekod baharu mulai tahun ini.
Difahamkan, pengeluaran dan penjualan kenderaan itu masing-masing mencecah 1.293 juta dan 1.257 juta pada suku pertama tahun ini dengan meningkat 1.4 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, kadar penembusan pasaran pula mencapai 19.3 peratus, iaitu meningkat sebanyak 11.4 peratus berbanding tempoh sama 2021.
Jurucakap kementerian Luo Junjie berkata jumlah jualan kenderaan elektrik jenama China meningkat 1.5 kali ganda.
"Kenderaan jenama China menduduki 75.1 peratus dalam kesemua penjualan kenderaan elektrik dan angka ini bertambah dua peratus berbanding tahun lalu.
"Pada masa sama, pengeluaran dan penjualan FCEV (fuel cell electric vehicle) masing-masing meningkat 7.2 dan 3.9 kali ganda," katanya.
Sementara itu, penghasilan kenderaan elektrik model 'battery swap' kini menghampiri angka 40,000 iaitu meningkat sebanyak 82 peratus.
Untuk rekod, di China setakat ini terdapat sejumlah 492,000 tiang pengecas termasuk 85,000 tiang pengecas awam dan 407,000 untuk kegunaan peribadi.
-- BERNAMA
#China #kenderaan elektrik #industri automotif #FCEV
;