Jumlah kematian di Gaza meningkat kepada 166 pada Ahad

Astro Awani
Julai 13, 2014 21:10 MYT
Israel terus menempatkan tenteranya di sempadan Gaza bagi menghalang sebarang kemungkinan serangan darat oleh Hamas
Serangan Israel ke atas Gaza pada Ahad menyebabkan jumlah kematian meningkat kepada 166 orang yang kini masuk hari ke enam.
Menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra, satu serangan di bandar utara Jabaliya telah menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun terbunuh.
Kemudian, satu lagi serangan dilakukan telah menyebabkan seorang wanita di kem perlarian Maghazi terkorban.
Seorang lelaki terbunuh dalam satu serbuan di Beit Hanun di utara Gaza, di mana tentera Israel memberi amaran keras akan meningkatkan serangan dan menggesa penduduk untuk berpindah bagi menyelamatkan diri.
Kata Qudra lagi, dalam beberapa kejadian, ramai yang terkorban meninggal dunia akibat kecederaan teruk dan menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah 166 orang.
Setakat ini, lebih daripada 1,000 orang dilaporkan cedera.
Sabtu adalah hari paling berdarah setakat ini dengan jumlah yang terkorban adalah 52 orang.
Setakat ini, tiada dipihak Israel yang terbunuh hanya tiga orang cedera parah sejak permulaan operasi.
Salah seorang mereka adalah seorang budak lelaki berusia 16 tahun yang cedera pada hari Ahad semasa serangan di Bandar Pantai Ashkelon, kata pihak medik.
Laporan terbaru daripada AFP menyebut, Israel dan Hamas masih enggan mencari jalan damai terhadap sengketa berlarutan antara mereka.
Israel terus menempatkan tenteranya di sempadan Gaza bagi menghalang sebarang kemungkinan serangan darat oleh Hamas serta turut memberi amaran kepada penduduk di utara Gaza agar mengosongkan rumah mereka.
Ekoran peningkatan jumlah mangsa penduduk Palestin yang maut dan tiada kematian penduduk Israel, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara mendesak Israel dan Hamas untuk menghormati “undang-undang kemanusiaan antarabangsa” dan mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa.
Majlis yang mempunyai 15 anggota itu turut mendesak agar gencatan senjata seperti yang dilakukan pada November 2012 dikembalikan.
Walaupun menerima pelbagai tekanan antarabangsa, kedua-dua pihak dilihat tidak berminat untuk menghentikan serangan yang kini semakin meruncing.
Tentera Israel berkata, mereka telah menghantar pesanan kepada penduduk di utara Gaza agar meninggalkan rumah mereka demi keselamatan masing-masing.
“Adalah tidak selamat untuk berada berhampiran kawasan Hamas,” katanya.
Sementara itu, perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini dengan lantang mengakui bahawa mereka tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa dan akan terus menyerang.
PM Ismail Haniyeh pula berkata dengan nada yang sama, “(Israel) yang memulakan keganasan ini dan ia mesti dihentikan, kerana kami (hanya) mempertahankan diri,”
Konflik terbaru ini bermula selepas tiga pemuda Israel diculik dan dibunuh pada bulan lalu dan pembunuhan balas seorang remaja Palestin oleh ekstremis Yahudi.
Israel menyerang Hamas walaupun kumpulan Islam itu tidak mengesahkan mahupun menafikan pembabitan mereka dalam penculikan dan pembunuhan itu.
Israel turut berkata mereka sedang bersiap sedia untuk sebarang serangan darat, dengan kereta kebal dan senjata berat ditempatkan disepanjang sempadan disamping kerahan 33,000 tentera simpanan dan 40,000 yang diluluskan kabinet rejim.
#Gaza #Hamas #Israel #Palestin #Zionis
;