Jumlah doktor murung di New Zealand meningkat

Faida Rahim
Oktober 30, 2022 12:30 MYT
NZMA memaklumkan beberapa negara luar mengalami peningkatan ketara dalam isu kesihatan mental dialam kalangan doktor sepanjang fasa pandemik. - Unsplash
WELLINGTON: Masalah tekanan melampau, kemurungan dan kebimbangan dilaporkan semakin membimbangkan dalam kalangan doktor di New Zealand.
Memetik laporan Manila Times, Persatuan Perubatan New Zealand (NZMA) memaklumkan isu ini menjejaskan kecekapan para doktor untuk melakukan kerja di rumah atau di tempat kerja sekali gus menyumbang kepada risiko bunuh diri.
Hasil laporan penyelidik Universiti dari Otago yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New Zealand melaporkan isu tekanan melampau (burnout) dilihat mencatatkan kes peningkatan sebanyak 45 peratus di sebuah tinjauan di salah sebuah hospital New Zealand sebelum COVID-19 menyerang dunia.
Dalam pada itu, angka kes mencatatkan peningkatan yang didorong oleh persekitaran kerja yang semakin tertekan selepas serangan pandemik di seluruh dunia.
NZMA memaklumkan beberapa negara luar mengalami peningkatan ketara dalam isu kesihatan mental dialam kalangan doktor sepanjang fasa pandemik.
"Dokumentasi peningkatan risiko bunuh diri dalam kalangan doktor bermula sejak abad ke-19. Anggaran kematian akibat bunuh diri berubah-ubah tetapi secara amnya dianggap lebih tinggi daripada populasi umum," katanya.
Aduan dan proses disiplin juga merupakan beban yang membebankan doktor sekaligus, meningkatkan risiko masalah mental. Langkah seperti mengurangkan beban kerja dan menambah baik kerja berpasukan dilihat paling berkesan untuk meningkatkan kesihatan mental para doktor manakala latihan pengurusan tekanan hanya memberi manfaat kecil.
"Di New Zealand perkhidmatan kaunseling meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi sesetengah doktor mengelak rawatan kerana mereka takut dikenakan tindakan," jelas NZMA.
#fasa pandemik #kesihatan mental #doktor murung #bunuh diri
;