Julian Assange tiba di Saipan untuk muktamad perjanjian pengakuan bersalah dengan AS
Agensi
Jun 25, 2024 06:30 MYT
Jun 25, 2024 06:30 MYT
SAIPAN: Pengasas Wikileaks, Julian Assange hadir di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) di Saipan, Kepulauan Mariana Utara hari ini (Rabu) bagi memuktamadkan perjanjian pengakuan bersalah sekali gus membebaskan beliau daripada pergelutan undang-undang yang dihadapinya selama 14 tahun.
Assange tiba di kepulauan wilayah Amerika di Pasifik, pada pagi Rabu (waktu tempatan).
Assange dilihat keluar dari kereta, diiringi oleh Duta Australia ke AS dan bekas Perdana Menteri, Kevin Rudd.
Pada Selasa, dia dilaporkan meninggalkan penjara di Britain dan terbang ke ibu kota Thailand, Bangkok untuk mengisi minyak.
Kerajaan AS memburu Assange, 52, atas tuduhan berkaitan pendedahan besar fail rahsia pada 2010, yang didakwa mereka membahayakan nyawa.
Bertindak balas terhadap perjanjian itu - yang akan menyaksikan Assange mengaku bersalah atas satu pertuduhan, isterinya, Stella memberitahu BBC, dia sangat"gembira."
Sebagai sebahagian daripada maraton undang-undang yang panjang, Assange telah menghabiskan lima tahun terakhir di penjara di United Kingdom (UK) menentang percubaan AS untuk mengekstradisinya.
Dia juga menghadapi tuduhan berasingan merogol dan serangan seksual di Sweden, yang dinafikannya.
Assange turut menghabiskan masa selama tujuh tahun bersembunyi di kedutaan Ecuador di London Ecuador kerana mendakwa, kes serangan seksual yang dihadapinya di Sweden akan menyebabkan dia dihantar ke AS.
Pihak berkuasa Sweden menggugurkan kes itu pada 2019, namun pihak berkuasa UK kemudian menahannya.
Dia dibicarakan kerana tidak menyerah diri kepada mahkamah untuk diekstradisi ke Sweden.
Di AS, Assange didakwa dengan konspirasi untuk mendapatkan dan mendedahkan maklumat pertahanan negara, berikutan pendedahan Wikileaks secara besar-besaran pada 2010.
WikiLeaks telah mengeluarkan video dari helikopter tentera AS yang menunjukkan orang awam terbunuh di ibu kota Iraq, Baghdad.
Ia juga menerbitkan ribuan dokumen sulit yang menunjukkan bahawa tentera AS telah membunuh ratusan orang awam dalam insiden yang tidak dilaporkan semasa perang di Afghanistan.
Pendedahan itu menjadi cerita yang besar, menimbulkan reaksi dari seluruh penjuru dunia dan membawa kepada penelitian yang mendalam tentang penglibatan Amerika dalam konflik asing.
Kepulauan Mariana Utara yang menjadi lokasi perjanjian pengakuan Assange merupakan kepulauan Pasifik yang terpencil dan komanwel AS.
Ia jauh lebih dekat dengan Australia berbanding Mahkamah Persekutuan AS di Hawaii atau benua AS.
Sebagai pertukaran untuk mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Pengintipan, Assange tidak akan menghabiskan masa dalam tahanan AS, sebaliknya, menerima kredit untuk masa yang dihabiskannya dalam penjara di UK.
Assange akhirnya akan kembali ke Australia, menurut surat yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman AS.
Dalam catatan di X, WikiLeaks berkata, Assange meninggalkan penjara Belmarsh London pada Isnin selepas 1,901 hari ditempatkan dalam sel kecil.
Video yang dikongsi oleh laman web itu menunjukkan Assange yang mengenakan seluar jeans dan kemeja biru, dibawa ke Lapangan Terbang Stansted London sebelum menaiki pesawat.
Gambarnya dalam pesawat berkenaan turut dirakamkan dan dikongsi.
Sementara itu, isterinya, Stella Assange berkata, tidak banyak yang boleh diulasnya mengenai perjanjian pengakuan berkenaan sebelum kehadiran suaminya di mahkamah.
"Saya tidak mahu menjejaskan apa-apa," katanya dalam satu wawancara bersama BBC Radio.
Kata Stella, keutamaannya kini adalah untuk suaminya "kembali sihat semula", berhubung dengan alam semula jadi dan untuk keluarga mereka mempunyai "masa dan privasi."
Stella turut mengesahkan dua anak kecil pasangan itu berada di Australia bersamanya.
Dia juga belum memberitahu anak-anaknya bahawa bapa mereka akan dibebaskan - cuma mereka akan melawat keluarga dan ada "kejutan besar" menanti.
Kata Stella juga: "Kami tidak mempunyai banyak masa untuk bercakap tentang masa depan - perkara pertama yang perlu dia (suaminya) perlu lakukan ialah membayar kerajaan Australia sebanyak AS$500,000 (RM2.35 juta) kembali untuk pesawat khas yang disewa." - Agensi