Julian Assange akhirnya bebas, kembali semula ke Australia
Agensi
Jun 26, 2024 11:25 MYT
Jun 26, 2024 11:25 MYT
SAIPAN : Pengasas WikiLeaks, Julian Assange kini melangkah bebas untuk pertama kalinya dalam tempoh 12 tahun selepas seorang hakim Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian pengakuan bersalahnya yang tidak dijangka pada pagi Rabu.
Assange keluar dari mahkamah sebagai seorang lelaki yang bebas dan mengangkat tangan ke arah sekumpulan wartawan dari seluruh dunia sebelum berangkat ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke ibu kota Australia, Canberra - tanah kelahirannya.
Bercakap di luar mahkamah, peguam AS Assange, Barry Pollack berkata, anak guamnya telah “menderita dengan teruk dalam perjuangannya untuk kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.”
Dalam satu peristiwa yang mengejutkan, warga Australia berusia 52 tahun itu dibebaskan dari penjara yang mempunyai tahap keselamatan tertinggi di London pada petang Isnin dan menaiki jet peribadi untuk meninggalkan United Kingdom (UK) sebelum dunia mengetahui tentang perjanjiannya dengan kerajaan AS.
Dia hadir di mahkamah AS di Kepulauan Mariana Utara untuk memuktamadkan perjanjian tersebut, secara rasmi mengaku bersalah atas konspirasi secara tidak sah untuk mendapatkan dan menyebarkan maklumat sulit atas peranannya yang didakwa dalam salah satu kebocoran terbesar bahan rahsia dalam sejarah ketenteraan AS.
“Saya, sebenarnya, bersalah atas tuduhan tersebut,” kata Assange kepada mahkamah di Saipan.
Rangkaian kepulauan Pasifik yang terpencil ini adalah wilayah AS, terletak sekitar 6,000 kilometer (3,700 batu) di barat Hawaii.
Assange - yang sejak sekian lama tidak mempercayai AS, malah sehingga menuduhnya merancang pembunuhannya - curiga untuk menjejakkan kaki di benua AS, justeru pendakwa meminta agar semua prosiding diadakan dalam satu hari di Mahkamah Persekutuan AS yang berpusat di Saipan, pulau terbesar dan ibu kota Kepulauan Mariana Utara.
Pendakwa dari Jabatan Keadilan juga berkata, mahkamah di kepulauan tersebut dekat dengan Australia dan Assange akhirnya selesai pertarungan undang-undangnya. - Agensi