Julai 2023 catat bulan terpanas dalam rekod sejak 1880

Bernama
Ogos 15, 2023 10:45 MYT
Sebuah empangan di Balongan, Indonesia kering akibat cuaca panas melampau yang melanda dunia ketika ini. - Foto REUTERS
LOS ANGELES: Julai 2023 mencatatkan suhu lebih panas berbanding bulan lain dalam rekod suhu global sejak 1880, menurut analisis yang dikeluarkan oleh Institut Goddard untuk Kajian Angkasa Lepas Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA) Amerika Syarikat (GISS) pada Isnin, lapor Xinhua.
Julai 2023 mencatat suhu sekitar 0.43 darjah Fahrenheit (0.24 darjah Celsius) lebih panas berbanding Julai tahun-tahun sebelumnya dalam rekod NASA, dan ia adalah 2.1 darjah Fahrenheit (1.18 darjah Celsius) lebih panas daripada purata Julai antara 1951 dan 1980, menurut analisis.
"Data NASA mengesahkan apa yang dirasai oleh berbilion-bilion orang di seluruh dunia: suhu pada Julai 2023 menjadikannya bulan paling panas dalam rekod. Rakyat Amerika kini mengalami sendiri kesan krisis iklim," kata Pentadbir NASA Bill Nelson .
Sebahagian daripada Amerika Selatan, Afrika Utara, Amerika Utara dan Semenanjung Antartika mengalami cuaca sangat panas, dengan peningkatan suhu sekitar 7.2 darjah Fahrenheit (4 darjah Celsius) melebihi purata, menurut data NASA.
Analisis agensi itu menunjukkan suhu permukaan laut yang panas terutamanya di timur Pasifik tropika, membuktikan El Nino mula berkembang pada Mei 2023.
Julai meneruskan trend pemanasan jangka masa panjang yang didorong oleh manusia terutamanya oleh pelepasan gas rumah hijau sejak empat dekad yang lalu.
"Sains jelas membuktikan bahawa ini bukan perkara biasa. Pemanasan yang membimbangkan di seluruh dunia terutamanya didorong oleh pelepasan gas rumah hijau. Dan kenaikan suhu secara purata mencetuskan suhu melampau yang dialami orang ramai di seluruh dunia," kata Pengarah GISS Gavin Schmidt.
"Perubahan iklim memberi kesan kepada manusia dan ekosistem di seluruh dunia, dan kami menjangkakan kesan ini akan meningkat dengan pemanasan berterusan," kata Katherine Calvin, ketua saintis dan penasihat iklim kanan di ibu pejabat NASA di Washington, D.C.
Panas melampau terus memberi kesan kepada kebanyakan rakyat Amerika Syarikat.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS mengeluarkan amaran haba untuk kira-kira satu pertiga rakyat Amerika pada Ahad, ketika suhu terus kekal pada tiga digit berbahaya bagi berjuta-juta penduduk.
Lebih 115 juta rakyat Amerika berada di bawah amaran haba di 16 negeri AS.
-- BERNAMA
#cuaca panas #suhu global #NASA #krisis iklim
;