Jubli Emas ASEAN-Jepun: Hubungan rapat rangsang pertumbuhan, kemakmuran akan datang
Bernama
Ogos 30, 2023 11:50 MYT
Ogos 30, 2023 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Jepun bersedia mempergiat perkongsian strategiknya dengan ASEAN dalam memperkukuh kestabilan, keselamatan dan pertumbuhan di rantau ini serta di seluruh Indo-Pasifik.
Duta Misi Jepun ke ASEAN Masahiko Kiya berkata sebagai rakan kongsi yang saksama dan rapat sejak lima dekad lepas, kedua-dua pihak perlu terus memanfaatkan hubungan rapat dan kekuatan untuk mempercepat kerjasama untuk faedah bersama.
Beliau berkata kini sudah tiba masanya untuk Jepun dan ASEAN mengambil kepimpinan bersama untuk menangani isu-isu global yang muncul seperti keterjaminan tenaga dan makanan, pendigitalan dan ekonomi, perubahan iklim dan pengurangan karbon, kesihatan awam dan pengurusan bencana.
"ASEAN dan Jepun boleh mengambil kepimpinan bersama dalam meluaskan kerjasama, bukan sahaja dalam ASEAN dan Jepun, bahkan merentasi Indo Pasifik dan selainnya, di tengah-tengah cabaran global yang semakin meningkat ini," katanya kepada Bernama dalam temu bual secara dalam talian dari pejabatnya di Jakarta, Indonesia.
Beliau yakin bahawa berdasarkan kelebihan ketara Jepun dalam pembangunan teknologi termaju dan dilengkapi kekuatan ASEAN dengan jumlah penduduknya seramai 670 juta, selain merupakan pusat pertumbuhan global yang rancak akan dapat menyumbang ke arah membina rantau yang lebih makmur.
Tahun ini, Jepun dan ASEAN memperingati Ulang Tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun bertemakan "Golden Friendship, Golden Opportunities".
Jepun adalah negara pertama di dunia yang bekerjasama dengan ASEAN pada 1973. Hubungan itu diperkukuh menerusi Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Jepun di Kuala Lumpur pada tahun 1977 dan sejak itu terus dibina atas kepercayaan, hormat dan komitmen.
Sementara itu, Kiya turut menekankan mengenai komitmen Jepun dalam menyokong mengarusperdanakan ASEAN Outlook on Indo Pacific (AOIP) bagi meningkatkan keamanan dan ketenteraman antarabangsa berdasarkan kedaulatan undang-undang di Indo Pasifik.
Jepun yakin ia boleh dicapai melalui projek kerjasama konkrit dalam empat bidang keutamaan iaitu kerjasama maritim, ketersambungan, SDG (Matlamat Pembangunan Mampan), ekonomi dan bidang kerjasama lain.
Ia merupakan rakan dialog pertama yang telah mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kerjasama antara Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) dan AOIP.
Pelan baharu Jepun untuk FOIP yang diumumkan pada Mac tahun ini telah mengenal pasti Asia Tenggara sebagai rantau yang penting.
Untuk itu, Jepun juga mengumumkan sumbangan baharu sebanyak US$100 juta Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF) yang telah menyokong usaha negara anggota ASEAN untuk program integrasi serantau dan pembangunan komuniti.
"Kami yakin ASEAN yang kukuh bukan sahaja baik untuk Jepun, bahkan untuk rantau ini dan dunia. Saya percaya ASEAN sudah bersedia untuk menerajui dan Jepun berada dalam kedudukan terbaik untuk bekerja sebagai rakan kongsi bagi merealisasikan cita-cita dan aspirasi ASEAN itu," katanya.
Mengenai ekonomi, Kiya berkata Jepun akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi ASEAN dengan tumpuan kepada inovasi, syarikat permulaan, pembangunan infrastruktur, teknologi hijau dan pengurangan karbon.
"Jepun mahu bersama mencipta inovasi dan persekitaran perniagaan yang mampan dengan negara anggota ASEAN," katanya, sambil menambah bahawa usaha ini boleh diperkukuh menerusi peraturan ekonomi yang bebas dan adil.
Pada 2022, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai US$268 bilion, menyumbang kira-kira tujuh peratus daripada angka perdagangan keseluruhan ASEAN.
Jepun juga merupakan sumber luar kedua terbesar pelaburan langsung asing (FDI) bagi ASEAN pada 2022, dengan jumlah pelaburan sebanyak US$26.7 bilion.
Jepun dan ASEAN akan menyambut peristiwa penting hubungan dua hala ini menerusi Sidang Kemuncak Peringatan di Tokyo pada Disember.
Kiya berkata Sidang Kemuncak Peringatan itu amat istimewa kerana para pemimpin akan membentangkan visi baharu bagi hala tuju hubungan dan kerjasama ASEAN-Jepun yang meliputi bidang yang luas untuk tahun-tahun mendatang.
Pembaharuan Inisiatif Keterhubungan ASEAN Komprehensif Jepun yang menggalakkan usaha untuk mengukuhkan ketersambungan perkhidmatan dan pembangunan (hard and soft connectivity) juga dijangka diumumkan tahun ini.
Kedua-dua pihak juga dijangka akan mengumumkan pewujudan hubungan dengan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Sidang Kemuncak tahunan pada September.
-- BERNAMA