Juara tinju Thailand maut digigit lipan raksasa
Agensi
Oktober 10, 2020 15:46 MYT
Oktober 10, 2020 15:46 MYT
KALASIN: Bekas juara tinju Thailand, Dokmaipa Por Pongsawang, 52, dilaporkan maut selepas dipercayai digigit seekor lipan gergasi.
Anak perempuannya, Jiraporn Moonkaset berkata, ayahnya digigit haiwan tersebut pada kaki kiri.
Selepas terkena gigitan itu, mendiang dikatakan tidak mendapat rawatan perubatan menyebabkannya keadaan menjadi semakin parah sehingga menggigil sebelum koma.
Menurutnya, Dokmaipa turut menghidap penyakit diabetes yang menjadi penyumbang kepada komplikasi tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Hospital Kalasin, Pramuan Thaingamsilp berkata, mendiang meninggal kerana jangkitan darah yang teruk.
Dokmaipa menjadi petinju Muay Thai ketika berusia sembilan tahun dan pernah memenangi kejuaraan selain mendapat jolokan 'Powerful Southpaw'.
Mendiang bagaimanapun bersara dari sukan seni pertahanan itu pada tahun 1996 dan menjadi jurulatih di Macau.
Selepas itu, mendiang kembali ke Thailand dan bekerja sebagai pekerja perbandaran di Kalasin.
Pengebumiannya akan diadakan di kampung halamannya, di daerah Saelapoom di Roi Et.
#Thailand
#Bekas juara tinju Thailand Dokmaipa Por Pongsawang
#Powerful Southpaw
#Maut digigit lipan
#Muay Thai
#sukan