Jualan buku tentang Islam meningkat selepas serangan di Perancis
AFP
April 4, 2015 18:33 MYT
April 4, 2015 18:33 MYT
Buku tentang Islam laris dijual di Perancis selepas serangan maut oleh kumpulan ekstremis di ibu negara itu menimbulkan persoalan tentang agama paling pantas berkembang di Eropah ini.
Sebuah sisipan majalah memfokus kepada Al-Quran laris dijual dan kedai buku menjual lebih banyak buku tentang Islam berbanding sebelumnya selepas serangan di Paris pada Januari yang menyebabkan 17 maut.
"Warga Perancis bertanyakan banyak soalan, dan berasa tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan pihak media," kata Fabrice Gerschel, pengarah majalah Philosophie yang menerbitkan sisipan itu.
Penjualan buku tentang Islam meningkat tiga kali ganda pada suku pertama 2015 berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut Kesatuan Kedai Buku Kebangsaan Perancis.
Mathilde Mahieux daripada rangkaian kedai buku La Procure yang mengkhusus dalam bab agama, berkata orang ramai mahu lebih memahami agama yang kononnya ditampilkan kumpulan militan IS, supaya mereka dapat buat keputusan sendiri.