AS jual pegangan hotel untuk dapatkan semula dana 1MDB
Luqman Hariz
Februari 7, 2019 14:34 MYT
Februari 7, 2019 14:34 MYT
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mula menjual aset dalam usaha mendapatkan semula dana yang didakwa dicuri daripada syarikat pelaburan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada Khamis, portal Bloomberg melaporkan DOJ telah menjual pegangan dalam hotel Park Lane di New York kepada firma pelaburan Abu Dhabi, Mubadala Investment Co.
Pegangan bernilai kira-kira US$140 juta itu sebelum ini dimiliki oleh ahli perniagaan kontroversi Low Jaek Jho atau Jho Low, dan dirampas oleh DOJ susulan siasatan yang mendakwa ia antara aset dibeli menggunakan dana dicuri daripada 1MDB.
Pegangan tersebut kemudiannya dipindah milik kepada kerajaan Amerika Syarikat pada Disember 2018.
Jho Low yang sebelum ini memfaikan tuntutan hak milik terhadap pegangan di dalam hotel itu juga setuju untuk menggugurkan tuntutannya pada November tahun lalu.
Jho Low bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas apa-apa tuduhan menyeleweng dana, manakala DOJ dalam satu kenyataan mengesahkan tindakan Low menggugurkan tuntutannya tidak dikira sebagai pengakuan bersalah.
DOJ merancang untuk mendapatkan semula aset dengan jumlah nilai USD1.7 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB.
Ia termasuk kapal mewah Equanimity dan lukisan oleh artis terkemuka termasuk Pablo Picasso dan Jean-Michel Basquiat.
Astro AWANI telah cuba mendapatkan maklum balas daripada wakil Kementerian Kewangan Malaysia berhubung perkara ini namun belum mendapat sebarang respons setakat ini.