Jual buah pinggang untuk beli iPhone 14? Doktor Thailand tegaskan jenaka itu tidak beretika
Agensi
September 12, 2022 15:33 MYT
September 12, 2022 15:33 MYT
BANGKOK: Umum tahu syarikat gergasi Apple kini ‘menggoda’ pengguna telefon pintar sedunia dengan edisi terbaharu mereka iaitu iPhone 14, dan harganya pula diketahui antara yang termahal dalam kategori gajet seumpamanya pada zaman ini.
Dalam kalangan warga maya, keinginan memiliki gajet tersebut dijadikan satu topik perbualan hangat, hinggakan tidak kurang jumlahnya yang terbiasa menggunakan jenaka ‘perlu jual buah pinggang untuk memilikinya’.
Meskipun ia sekadar bahan lawak untuk memberi contoh perbandingan harga, netizen di banyak negara di seluruh dunia pernah mendengar dan menyebutnya. Di Thailand, frasa dan tanda pagar ‘jual buah pinggang untuk iPhone 14’ dilihat berleluasa hingga menjadi tular di beberapa platform media sosial.
Perkembangan itu menimbulkan rasa kurang senang bagi sesetengah golongan profesional, terutamanya mereka yang berkhidmat dalam bidang rawatan kesihatan dan perubatan.
Portal Bangkok Post melaporkan, Pengarah Urusan Pusat Pendermaan Organ di bawah Persatuan Palang Merah Thailand, Dr Sophon Mekthon pada Ahad berkata, isu pemerdagangan organ dalaman adalah sangat sensitif.
“Lawak dan meme yang mencadangkan individu supaya sanggup menjual buah pinggang mereka demi sebuah iPhone adalah tidak wajar dan tidak beretika,” tegasnya.
Katanya, Persatuan Palang Merah Thailand yang bertanggungjawab dalam hal pendermaan organ menegaskan bahawa tiada pemerdagangan organ dalaman manusia berlaku di negara itu.
“Pendermaan dan pemindahan organ dalaman hanya dilakukan antara ahli keluarga yang rapat, seperti ibu bapa dan anak-anak. Tiada perdagangan (organ) seumpamanya.
“Adalah tidak wajar, walau hanya dengan memberi cadangan untuk menjual organ, hanya untuk mendapatkan duit demi membeli iPhone. Ia salah dari segi moral dan etika,” katanya.
Walaupun kebanyakan netizen menganggap itu sebagai jenaka semata-mata, hal mengorbankan organ dalaman untuk mendapatkan wang adalah suatu perkara yang boleh saja terjadi dalam kelompok masyarakat tertentu yang berdepan situasi terdesak. Di negara tertentu di dunia ini, turut berdepan isu pemerdagangan organ dalaman manusia di pasaran gelap hingga menjadi masalah yang membimbangkan.
Maka, tidak sesuai jika ‘idea’ menjual organ untuk ganjaran wang atau kesenangan segera, sering diulang dan diuar-uarkan dalam pemikiran umum.
Dr Sophon berkata, seseorang itu boleh mendermakan tubuh mereka untuk kajian perubatan, termasuk organ seperti jantung, mata dan hati, namun selepas individu itu meninggal dunia.
Beliau sebaliknya menyeru agar orang ramai berdaftar sebagai penderma organ, memandangkan terdapat kekurangan penderma organ buat masa ini di Thailand sedangkan kira-kira 6,000 penerima sedang dalam senarai menunggu.