Jordan sambut baik keputusan UK gantung sebahagian eksport senjata ke Israel

Bernama
September 4, 2024 12:15 MYT
Jordan memuji keputusan Britain untuk menggantung lesen eksport senjata tertentu ke Israel, menyifatkannya sebagai langkah penting dalam usaha melindungi nyawa orang awam. - Gambar fail AP
AMMAN: Kementerian Luar Jordan pada Selasa memuji keputusan Britain untuk menggantung lesen eksport senjata tertentu ke Israel, menyifatkannya sebagai langkah penting dalam usaha melindungi nyawa orang awam, lapor Xinhua.
Jurucakap Kementerian Luar, Sufian Qudah dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan Britain itu selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB, Perhimpunan Agung PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan badan lain yang menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza serta tindakan untuk menangani krisis kemanusiaan yang teruk akibat konflik di Gaza.
Qudah turut menekankan kepentingan penghantaran bantuan yang berterusan dan mencukupi ke semua kawasan di Gaza, perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam, serta memastikan kemudahan PBB dan pekerja bantuan dilindungi.
Pada Isnin, Britain mengumumkan bahawa ia akan menggantung 30 daripada 350 lesen eksport senjatanya ke Israel, dengan alasan terdapat risiko peralatan itu boleh digunakan untuk melakukan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Qudah menyatakan bahawa keputusan Britain itu menyokong usaha Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir untuk mencapai perjanjian yang memastikan gencatan senjata kekal dan penghantaran bantuan kemanusiaan yang berterusan ke Gaza.
Jurucakap itu menggesa Britain untuk mengenakan larangan sepenuhnya terhadap eksport senjata ke Israel, dengan hujah bahawa tanpa akibat sebenar, Israel akan meneruskan tindakannya di Gaza dan Tebing Barat yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mengancam keselamatan serantau.
Qudah mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi Jordan kepada rakyat Palestin dan hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat mengikut sempadan 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya. - BERNAMA
#Jordan #United Kingdom #eksport senjata #Israel
;