Jordan peroleh pinjaman US$100 juta untuk tingkatkan dasar keselamatan makanan

Bernama
Oktober 5, 2022 07:40 MYT
Nasser Shraideh (kanan) dan Abdulhamid Alkhalifa berjabat tangan selepas menandatangani perjanjian pinjaman kewangan Dana OPEC. - Foto Facebook OPEC Fund
AMMAN: Jordan pada Selasa memperoleh pinjaman berjumlah US$100 juta daripada Dana OPEC untuk Pembangunan Antarabangsa (OFID) bagi tujuan membiayai projek keselamatan makanan negara.
Pinjaman itu bertujuan menjamin rizab gandum dan barli serta meningkatkan sistem keselamatan makanan di negara itu, kata Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Jordan Nasser Shraideh dalam satu kenyataan.
Beliau dan Ketua Pengarah OFID Abdulhamid Alkhalifa menandatangani perjanjian pinjaman kewangan itu, lapor Xinhua.
Dana itu dijangka membantu Jordan mengelakkan sebarang risiko berkaitan turun naik dalam bekalan dan harga akibat daripada cabaran global semasa, menurut kenyataan itu.
Shraideh turut menyuarakan hasrat kerajaan untuk meneruskan kerjasama dengan OFID ke fasa seterusnya bagi membantu negara itu melaksanakan visi pemodenan ekonominya.
Sementara itu, Alkhalifa, menyuarakan aspirasi OFID untuk meningkatkan kerjasama dengan Jordan dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.
-- BERNAMA
#Abdulhamid Alkhalifa #Nasser Shraideh #pinjaman Dana OPEC #dasar keselamatan makanan Jordan
;