Jordan, Mesir bincang usaha capai gencatan senjata di Gaza

Bernama
Disember 27, 2023 17:00 MYT
Serangan Israel memusnahkan Gaza, dengan 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah dan hampir dua juta penduduk hilang tempat tinggal selain berdepan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. - Gambar/ AP
WASHINGTON: Menteri Luar Jordan Ayman Safadi bertemu rakan sejawatannya dari Mesir Sameh Shoukry pada Selasa untuk bertukar pendapat mengenai usaha mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Dalam pertemuan di Kaherah, ibu negara Mesir, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai proses penyelarasan dan rundingan yang sedang berjalan antara kedua-dua negara untuk memastikan gencatan senjata dicapai, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Luar Jordan di X.
Mereka juga membincangkan cara untuk menyampaikan bantuan yang "mencukupi, segera dan berkekalan" kepada rakyat Palestin di Gaza.
Serangan Israel memusnahkan Gaza, dengan 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah dan hampir dua juta penduduk hilang tempat tinggal selain berdepan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
-- BERNAMA
#Jordan #Mesir #Gaza #gencatan senjata
;