Jong Chol tuduh Malaysia guna cara paksaan untuk dapatkan pengakuan
Agensi
Mac 4, 2017 11:00 MYT
Mac 4, 2017 11:00 MYT
Ri Jong Chol iaitu suspek kes pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, mendakwa dia adalah mangsa konspirasi Malaysia yang hendak merosakkan maruah Korea Utara.
Warga Korea Utara itu turut menuduh Malaysia menggunakan cara paksaan untuk mendapatkan pengakuan daripadanya, lapor Reuters.
"Saya sedar ini adalah konspirasi, plot, untuk merosakkan maruah republik (Korea Utara)," ujarnya kepada wartawan sewaktu ditemui di luar Kedutaan Korea Utara di Beijing, China.
Terdahulu, sejurus tiba di Beijing selepas diusir keluar dari Malaysia, sekumpulan wartawan Korea Selatan dan Jepun cuba mengerumuninya namun dia serta-merta dibawa meninggalkan lokasi itu oleh polis Republik China.
Jong Chol juga menjelaskan dia tidak berada di lapangan terbang pada hari kejadian, malah dia tidak tahu langsung mengenai dakwaan keretanya digunakan dalam kejadian itu.
Berikut adalah antara asakan soalan lain dari wartawan serta jawapan yang diberikan Jong Chol:
Wartawan: Apa yang kamu buat di Kuala Lumpur?
Jong Chol: Di Malaysia, saya bekerja mengimport bahan-bahan yang diperlukan untuk buat sabun.
Wartawan: Terdapat laporan bahawa terdapat sebuah kereta di tempat kejadian didaftarkan atas nama anda.
Jong Chol: Ini saya tidak tahu, saya tidak meletakkan kereta saya di sana. Apa yang saya lakukan adalah kerja hasilkan bahan-bahan sabun. Anda tahu apa itu sabun?
Wartawan: Kereta itu ditemui pada 13 Februari. Jika pada hari itu (anda mengatakan) kereta anda tidak berada di lapangan terbang, adakah kemungkinan ia berlaku tanpa pengetahuan anda?
Jong Chol: Saya telahpun bercakap perkara yang benar tentang di mana saya berada pada 1 hingga 13 Februari.
Wartawan: Jadi, anda tidak pergi ke lapangan terbang?
Jong Chol: Saya tidak pernah ke lapangan terbang dan saya tidak ada keperluan untuk pergi. Saya hanya bekerja di rumah saya (di Kuala Lumpur).
Jong Chol ditahan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama bagi membantu siasatan kematian Jong Nam, yang menggunakan nama 'Kim Chol' dalam pasportnya. Jong Nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.