Jokowi 'turun padang' periksa kawasan kebakaran hutan di Riau
Faris Danial Razi
September 17, 2019 05:34 MYT
September 17, 2019 05:34 MYT
PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) tiba di wilayah Riau pada Selasa bagi melawat kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan di negara itu.
Ia berikutan negara-negara Asia Tenggara meminta kerajaan Indonesia bertindak melakukan sesuatu bagi menangani masalah jerebu yang sedang teruk melanda ketika ini.
Jokowi membuat keputusan untuk turun ke kawasan kebakaran seluas 50,000 hektar itu bagi melihat sendiri operasi pihak berkuasa Indonesia dalam mengawal keadaan.
Menurutnya, kerajaan Indonesia sedang mencari jalan bagi menangani usaha membanteras kejadian kebakaran hutan yang berleluasa di Sumatera dan Kalimantan.
“Kami akan mengetahui sama ada ini adalah tindakan teratur dari pihak tertentu atau orang tempatan, tetapi jika dilihat, kawasan yang terjejas adalah luas dan kami percaya ia adalah satu tindakan yang teratur," katanya.
Tambah Jokowi, seramai 5,600 anggota tentera tambahan telah digunakan untuk membantu menangani masalah kebakaran.
Manakala sekurang-kurangnya 52 helikopter telah melepaskan lebih 263 juta liter air dan 164 tan garam bagi operasi pembenihan awan.
Dalam pada itu, Jokowi menegaskan, kerajaannya perlu mengambil langkah pencegahan dan melakukan kawalan ke atas kebakaran hutan secara konsisten dan berterusan.
#Asia Tenggara
#Indonesia
#jerebu
#Joko Widodo
#kawalan
#kebakaran
#kebakaran hutan
#kerajaan
#pembenihan awam
#Riau