Jokowi tidak sempat bertemu Habibie
Nursyazwani Saiful Sham
September 11, 2019 21:00 MYT
September 11, 2019 21:00 MYT
PRESIDEN Joko Widodo berkata beliau tidak sempat bertemu dengan Bacharuddin Jusuf Habibie sebelum bekas presiden ketiga Indonesia itu meninggal dunia.
Menurut laporan Kompas.com, Jokowi tiba di Hospital Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto, Jakarta lima minit selepas BJ Habibie menghembuskan nafas terakhir.
“Saya tiba di sini lima minit selepas beliau (BJ Habibie) meninggal dunia,” katanya kepada media tempatan ketika ditemui di hadapan hospital tersebut pada Rabu.
Bagaimanapun, Jokowi memaklumkan beliau sempat menziarahi Habibie tiga hari lalu.
Ketika itu jelasnya, Habibie tidak berupaya untuk bertutur kerana kondisi keadaan dirinya yang lemah.
Terdahulu, Habibie dilaporkan meninggal dunia pada usia 83 tahun pada jam 6.05 petang Rabu.
Bj Habibie, 83 tahun, menghembuskan nafas terakhir di samping keluarganya. Perkara itu disahkan anak lelakinya, Thareq Kemal.
Difahamkan Habibie mula menjalani rawatan secara intensif di hospital tersebut sejak 1 September lalu berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.
#Bacharuddin Jusuf Habibie
#BJ Habibie
#Joko Widodo
#Jokowi
#meninggal dunia
#presiden
#Thareq Kemal