Jokowi seru budaya baharu tapi pengguna MRT tonjol aksi 'kampungan'
Agensi
Mac 25, 2019 12:18 MYT
Mac 25, 2019 12:18 MYT
Ibu negara Indonesia, Jakarta kini memiliki sistem transit laju atau Transit Aliran Massa (MRT) pertama yang disempurnakan oleh Presiden Joko Widodo pada Ahad.
"Hari ini menandakan permulaan era baharu sebagai fasa pertama operasi MRT dimulakan secara rasmi.
"MRT adalah sebahagian daripada budaya baru kerana ini adalah yang pertama di Indonesia," kata Jokowi.
Menurut portal The Jakarta Post, Jokowi menyeru orang awam mengamalkan budaya baharu semasa menggunakan MRT.
Antara budaya baharu yang ingin diterapkan ialah tidak membuang sampah di merata-rata tempat, beratur dan menepati masa.
“Melainkan kita sanggup adaptasi dengan budaya baharu, (jika tidak) tiada gunanya MRT diadakan,” jelas beliau setelah dua kali merasai menaiki MRT bersama orang awam.
Sehingga 1 April, rakyat Indonesia dilaporkan berpeluang merasai pengalaman menaiki perkhidmatan MRT pertama secara percuma.
Walau bagaimanapun, lain pula yang ditonjolkan oleh pengguna semasa menaiki MRT.
Heboh di laman Twitter dengan foto-foto aksi ‘kampungan’ antaranya berkelah di stesen, bergayut dan memijak kerusi di dalam gerabak.
Lebih menghairankan, pengalaman pertama menaiki perkhidmatan itu seolah-olah ingin meraih perhatian dan diabadikan dengan menangkap gambar.
Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati atas sikap pengguna yang gagal menghargai perkhidmatan awam yang disediakan.
Namun, adakah hasrat budaya baru Jokowi berjaya dicapai dengan munculnya aksi ‘kampungan’ oleh rakyatnya seawal pembukaan perkhidmatan awam itu.
Projek yang bernilai 1.1 bilion dolar Amerika atau RM4.4 bilion disasarkan untuk menangani kesesakan trafik yang disifatkan paling teruk di dunia.
Laluan sistem transit laju siap dibina sepanjang 16 kilometer selepas enam tahun menerusi bantuan Jepun bermula.
#1 1 bilion dolar Amerika
#16 kilometer
#budaya baharu
#Indonesia
#Jakarta
#Jepun
#Joko Widodo
#Jokowi
#MRT
#RM4 4 bilion